Serpihan pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Donetsk, Ukraine pada tahun 2014.

MOSCOW – Saksi utama insiden pesawat Malaysia Airlines yang ditembak jatuh, Vladimir Tsemakh, sedia untuk memberi testimoni kepada para penyiasat Belanda dan Ukraine mengenai tragedi tersebut, namun ia perlu dilakukan di wilayah yang dikuasai puak pemisah Rusia di timur Ukraine, kata peguam beliau.

Tsemakh yang ditangkap tentera Ukraine dan kemudian kembali ke Rusia untuk berjuang untuk puak pemisah Rusia di wilayah Donbass berkata menerusi satu rakaman video bahawa beliau memerintah pasukan anti udara dan menyembunyikan bukti yang berupa sistem peluru berpandu, Buk.

Para pemerhati menjangka beliau akan menjadi saksi utama dalam insiden kemalangan pesawat MH17 pada Julai 2014 di timur Ukraine dengan kesemua 298 penumpang terbunuh.

Peguam Tsemakh, Anatoly Kucherena dalam saman ke atas Ukraine dan Belanda di mahkamah hak asasi manusia Eropah memberitahu agensi berita, Tass, bahawa pelanggannya ‘takut’ untuk menjadi saksi namun bersedia untuk melakukannya.

“Beliau masih bersedia untuk memberi bukti kepada penyiasat kedua-dua Belanda dan Ukraine untuk menjaga nama baiknya,” kata Kucherena seperti di petik The Moscow Times.

“Beliau setuju untuk melakukan ini di wilayah DPR,” jelas Kucherena merujuk kepada Donetsk People’s Republic yang menguasai timur Ukraine. Tsemakh dipercayai tinggal di timur Ukraine yang dikuasai puak pemisah Rusia.

Setakat ini tiada siapa mendekati Tsemakh untuk menawarkan ‘pelbagai format soal siasat’, kata peguam yang juga mewakili warga Amerika Syarikat, Edward Snowden.

“Pelanggan saya dan saya telah menyuarakan kesediaan untuk menjadi saksi. Yang lain tertakluk kepada rundingan,” Kucccherena seperti dipetik Tass.

Pihak keselamatan Ukraine menculik Tsemakh, yang merupakan warga Ukraine, pada 27 Jun lalu. Pada September lalu, Tsemakh dihantar ke Rusia sebagai sebahagian daripada pertukaran banduan berprofil tinggi antara Kiev dan Moscow.

Pada temubual pertamanya sejak pertukaran banduan itu pada minggu lalu, Tsemakh berkata, para pegawai Belanda dan Australia telah menawarkan beliau kewarganegaraan Belanda dan sebuah rumah di Belanda ketika beliau ditahan di Ukraine. – Agensi