KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof mengucapkan takziah kepada keluarga pelajar lelaki sebuah maahad tahfiz di Lanchang, Temerloh yang maut dengan kesan lebam di badan.
Beliau melahirkan rasa sedih dan kecewa apabila polis turut menemui kesan lebam pada badan mangsa yang baru berusia tujuh tahun itu.
“Saya rasa sungguh sedih apabila anak yang baru berusia tujuh tahun dan baru hendak mengenal dunia menjadi mangsa.
“Saya percaya pada kecekapan polis dan berharap hasil siasatan yang dijalankan nanti dapat mengetahui punca kematian mangsa,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini hari ini.
Media melaporkan, pelajar maahad tahfiz yang dipercayai didera itu meninggal dunia tengah hari semalam, ketika mendapat rawatan di sebuah klinik kesihatan.
Mangsa ditemui berada dalam keadaan lemah kira-kira jam 1 tengah hari oleh warden asrama yang membawanya ke Klinik Kesihatan Lanchang bagi mendapatkan rawatan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Komisioner Datuk Othman Nanyan berkata, siasatan awal ke atas fizikal mangsa mendapati terdapat kesan lebam pada tubuh.
Katanya, tiga pelajar berusia 13 tahun di pusat tahfiz yang tidak berdaftar itu ditahan bagi membantu siasatan.
Dr. Mujahid sekali lagi mengingatkan ibu bapa agar menghantar anak ke pusat tahfiz atau sekolah pondok yang berdaftar.
Ini kerana, menurutnya ia bagi memudahkan kerajaan serta Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) memantau segala kegiatan kokurikulum serta aktiviti yang dilakukan di pusat berkenaan agar mengikut piawaian demi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar terjamin. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















