KUALA LUMPUR – Suasana keharmonian kaum mula terancam kerana ada pihak tertentu selama ini, yang rakus mengambil mudah di atas sifat dan sikap tolak ansur umat Islam.
Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, ia ibarat kata sikap pihak terbabit yang dapat betis mahu paha.
Kata beliau, sikap tidak hormat kepada Islam sebagai agama Persekutuan dan institusi Raja-Raja Melayu serta asas perlembagaan yang sudah dimeterai sejak negara merdeka juga turut menyumbang kepada keancaman keharmonian.
Jelasnya, asas dalam Perlembagaan Negara seperti Fasal 153 adalah hasil toleransi umat Islam dengan lain-lain kaum dan jika ia dihormati serta dihayati, nescaya Malaysia akan menjadi negara makmur dan perpaduan yang hebat.
Justeru menurut beliau, untuk menjadi pemimpin yang diberi prestasi baik oleh rakyat, mereka harus menghindari dan menjauhi sikap hipokrit serta munafik dalam kepemimpinannya.
“Mereka juga harus menjauhkan diri dari rasuah, kerendahan moral dan bersikap tamak haloba ketika berada di puncak kuasa.
“Kaedah terbaik bagi setiap pemimpin ialah menghayati ajaran serta kepimpinan Rasulullah yang umum tahu antara pemimpin contoh terbaik di seluruh ala mini.
“Umat Islam dan rakyat Malaysia akan bersatu padu jika nilai kepimpinan dan ajaran Rasullulah dihayati serta diamalkan sebaik mungkin dan untuk mencapai hakikat serta tujuan ini, kita harus mampu mensosialisasikan semangat ajaran serta keteladanan Nabi Muhammad,” katanya dalam kenyataan kepada media sempena sambutan Maulidur Rasul.
Menurut Dr. Ibrahim, toleransi yang Rasulullah ajar harus sentiasa menjadi acuan dan pedoman dalam interaksi dengan umat agama lain dan menjalin hubungan keakraban menerusi sikap berlapang dada, tetapi tegas dengan nilai jati diri dan harga diri.
Jelas beliau, setiap kali menyambut Maulidul Rasul, umat Islam kembali mengingati Rasulullah yang uswatun hasanah, mulia, lemah lembut, jujur, amanah, tegas dan sering menyampaikan kebenaran serta mencegah kezaliman.
Bagi parti Putra, katanya, hanya dengan meneladani sifat kepimpinan Rasulullah itulah umat Islam memanifestasikan agamanya sebagai Rahmatan Lil Alamin dan membawa Malaysia bergerak maju menjadi negara makmur.
“Umat Islam dituntut bukan hanya untuk menghayati ajaran Nabi Muhammad, tetapi juga memantapkan cinta dan penghargaan ke atas jasa serta pengorbanannya menegakkan syiar Islam.
“Kerana jasa dan pengorbanan Rasulullah serta atas dasar pemberian hak penghormatan itulah Allah dan para malaikat mencurahkan rahmat dan memohon maghfirah untuk Baginda.
“Menyedari kedudukan Baginda sebagai ikutan dan teladan, menuntut kita tidak terpaku dalam kelakuan (kelaziman) lahiriah dan melupakan hakikat ajarannya yang sebenar,” katanya.
Lebih dari itu, katanya harus disedari ajaran Rasulullah berorientasikan kepada usaha perpaduan kemanusiaan berteraskan ajaran yang terkandung dalam al Quran dan Hadis sahih.
Namun, perpaduan diajarkan itu tidak meleburkan perbezaan, tetapi tetap menghormati setiap perbezaan antara kaum kerana setiap daripada mereka telah memilih jalan kehidupan sendiri sehingga harus mencapai prestasi kebajikan masing-masing.
Kalau dilihat dalam konteks kehidupan masyarakat majmuk yang telah berjaya membawa keserasian sosial di negara ini, ia adalah salah satu hakikat daripada ajaran Nabi Muhammad.
“Kita amat bersyukur kerana dunia tertumpu kepada kita dengan penuh penghargaan bahawa ajaran Nabi Muhammad terpancar dalam kehidupan bangsa Malaysia.
“Namun, jika kita melihat dari dunia luar, kita akan tahu dan sedar betapa besar nikmat Allah yang dilimpahkan kepada bangsa kita.
“Nilai luhur bangsa serta ajaran toleransi Nabi Muhammad telah berakar dalam jiwa, berkat kearifan dan jasa pemimpin terdahulu yang sewajarnya menjadi tradisi kesinambungan oleh semua pihak,” katanya. – MalaysiaGazette
















