Dr. Dzulkefly Ahmad

PUTRAJAYA – Tiada jaminan graduan perubatan, sama ada tajaan kerajaan mahupun swasta, diserap sebagai pegawai perubatan siswazah (HO) bagi lantikan tetap dalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, walaupun pelajar telah menamatkan latihan siswazah, namun ia tetap bergantung kepada kekosongan jawatan di fasiliti kesihatan KKM.

“KKM tidak lagi dapat menyerap sepenuhnya keseluruhan HO dalam kalangan pelajar tajaan kerajaan dan bukan tajaan yang telah menamatkan latihan siswazah.

“Ini kerana ia tertakluk kepada kekosongan jawatan di fasiliti kesihatan. Jumlah perjawatan tetap baharu juga diwujudkan berdasarkan kriteria tertentu.

“Keperluan perjawatan bukan mengambil kira faktor keluaran graduan perubatan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bercakap pada sidang media khas Kementerian Kesihatan di Kementerian Kesihatan Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 08 NOVEMBER 2019

Sebelum ini, KKM melantik seramai 16,407 orang HO bagi tempoh Disember 2016 sehingga Oktober 2019, dengan jumlah tanggungan emolumen sebanyak RM1.63 bilion.

Beliau berkata, isu tempoh menunggu masih berlaku disebabkan faktor luar kawalan seperti jumlah keluaran graduan yang semakin meningkat khususnya graduan perubatan luar negara.

“Jumlah graduan itu tidak dapat memenuhi 12,033 slot latihan yang disediakan di 46 Hospital Latihan Siswazah, serta terdapat HO lantikan tetap yang masih belum menamatkan latihan siswazah.

“Berdasarkan rekod semasa, jumlah graduan yang ditawarkan lantikan kontrak pada 2019 sehingga November adalah seramai 6,307 orang. Manakala yang masih menunggu adalah seramai 1,152 orang,” katanya.

Menurut Dzulkefly, HO yang telah tamat latihan siswazah, memiliki Sijil Pendaftaran Penuh dan melengkapkan khidmat wajib mempunyai peluang lain untuk berkhidmat di agensi lain.

“Mereka berpeluang untuk berkhidmat dalam sektor awam seperti hospital-hospital universiti, sektor swasta dan syarikat yang memerlukan pengetahuan serta kemahiran dalam bidang kesihatan,” katanya.

Tambah beliau, KKM masih menunggu jawapan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) untuk permohonan 10,675 pelbagai jawatan yang telah dikemukakan sebelum ini.

“KKM pada 12 Julai 2018 telah mengemukakan permohonan kepada Agensi Pusat untuk mewujudkan jawatan tambahan sebanyak 21,741 bagi menampung keperluan perkhidmatan di fasiliti baharu dan fasiliti dinaik taraf.

“Namun, KKM diminta untuk mengkaji semula agar mengemukakan permohonan perjawatan bagi fasiliti yang dinaik taraf dan baharu sahaja yang akan beroperasi pada tahun 2019 hingga 2020,” katanya. – MalaysiaGazette