Penerima anugerah, Datuk Seri Daud Muhammad (tengah) beramah mesra dengan Tan Sri Lee Lam Thye (dua kiri), Prof. Datuk Dr. Asma Ismail (kiri), Mohd Abdul Hamid @ Cikgu Azmi (dua kanan) dan Datuk Dr. Khalid Ibrahim (kanan) pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H/2019M di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 09 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye menyifatkan anugerah diterimanya bersempena sambutan Maulidur Rasul 1441H/2019 Peringkat Kebangsaan adalah hasil usaha dan kerja kerasnya menyumbang kepada negara dan masyarakat selama 45 tahun.

Lam Thye, 73, berkata, pengiktirafan diraihnya itu terutamanya melalui penglibatan aktif dan sumbangan beliau dalam aspek memupuk kesedaran di kalangan rakyat terutamanya mengenai kepentingan mengamalkan budaya keselamatan.

“Saya baru-baru ini mewujudkan badan bukan kerajaan (NGO) baharu dinamakan Ikatan Komuniti Selamat di mana fokus saya untuk didik semua lapisan masyarakat supaya mereka jadi lebih prihatin tentang aspek keselamatan yang mereka amat perlukan.

“Anugerah ini sebagai suntikan semangat kepada saya untuk terus ke hadapan bersama dengan anggota Ikatan Komuniti Selamat dan NGO lain dan akan berusaha bersama-sama dengan semua agensi dan jabatan kerajaan untuk meneruskan sumbangan kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang selepas menerima anugerah itu pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1441H/2019 di sini hari ini yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Lam Thye menerima Anugerah Maulidur Rasul bersama tiga lagi individu iaitu ahli akademik Prof Datuk Dr Asma Ismail, pelopor Hospital Mesra Ibadah Datuk Dr Khalid Ibrahim dan aktivis kemanusiaan Mohd Azmi Abdul Hamid di mana kesemua mereka masing-masing menerima wang tunai RM20,000, trofi serta sijil penghargaan.

Sementara pakar perundangan syariah yang Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2019.

Lam Thye menambah, melalui NGO baharu itu beliau bertekad akan menggembleng tenaga dan kepakaran yang ada untuk menyampaikan ilmu pengetahuan berkaitan keselamatan kepada pengusaha institusi tahfiz di negara ini.

Lam Thye sebelum ini pernah menjawat jawatan Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) selain ketika ini menyandang jawatan Pengerusi Yayasan EcoWorld dan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS); Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Penaung Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) Selangor serta Persatuan Psikiatri Malaysia.

Beliau juga adalah Ahli Majlis Keselamatan Aktiviti Air Negara (MKAA), Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental serta Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia. – MalaysiaGazette