Mohamed Haniff Khatri

KUALA LUMPUR – Empat hari lalu peguam Mohamed Haniff Khatri menegur Peguam Negara, Tommy Thomas tentang ‘tabiat tidak sihat’ beliau melantik peguam swasta untuk mewakil kerajaan Malaysia baik dalam kes sivil mahu pun jenayah.

Haniff menyenaraikan nama-nama seperti Gopal Sri Ram, Sulaiman Abdullah dan V. Sithambaran dalam pertuduhan jenayah ke atas Datuk Seri Najib Razak bagi kes skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Terbaharu, Tommy melantik pula peguam swasta veteran DP Naban mewakili kerajaan dalam saman cukai berjumlah RM1.69 bilion juga terhadap bekas perdana menteri itu.

Pelantikan tersebut telah dicabar oleh Najib menerusi peguam Muhammad Shafee Abdullah semalam dalam prosiding terbuka di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Ahmad Bache.

Perkembangan terbaharu itu menarik perhatian Haniff sekali lagi dan dalam satu kenyataan peguam tersebut melahirkan rasa terkejut kerana baginya tidak ada yang rumit dalam kes tuntutan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sehingga seorang peguam swasta terpaksa dilantik.

Katanya, kes seumpama itu sering dikendalikan peguam persekutuan bagi pihak kerajaan Malaysia dan tidak ada apa yang rumit mengenainya memandangkan peruntukan-peruntukan dalam Akta Cukai Pendapatan 1967 sememangnya lebih memihak kepada LHDN.

“Ini disebabkan falsafah bagi tadbiran mana-mana negara bergantung kepada kebolehan membuat tuntutan dan kutipan cukai yang efisien, yang juga disahkan melalui pelbagai keputusan mahkamah tertinggi Malaysia dalam tuntutan cukai setakat ini,” katanya.

Haniff mengulangi penegasannya bahawa peguam-peguam Persekutuan di Pejabat Peguam Negara sememangnya kompeten dan berkebolehan untuk mewakili Kerajaan Malaysia justeru tiada keperluan pelantikan mana-mana peguam swasta secara khusus dalam tuntutan terhadap Najib.

“Jangan kita lupa sebagai badan awam, pegawai-pegawai Pejabat Peguam Negara telah sejak dari merdeka lebih 60 tahun lalu bertungkus lumus dalam memelihara kepentingan negara dalam tuntutan sivil mahupun pertuduhan janayah dengan sejayanya,” kata Haniff.

Tommy Thomas

Sehubungan dengan itu,  beliau berkata, Tommy wajib memberi penjelasan kepada rakyat adakah tindakannya seringkali melantik peguam swasta itu kerana beliau tidak lagi percaya pegawai-pegawainya sendiri atau pun Tommy telah kehilangan sokongan daripada mereka.

Katanya, kenyataan rasmi Tommy itu penting kerana hakikatnya Pejabat Peguam Negara adalah badan awam yang menggerakkan kedaulatan undang-undang negara dan tidak harus diswastkan sehingga ke tahap sekarang ini.

Baru-baru ini Haniff berkata, beliau tidak mempertikaikan kewibawaan peguam swasta yang dilantik Tommy namun keputusan tersebut boleh menjatuhkan motivasi 1,200 pegawai perundangan di Pejabat Peguam Negara yang selama ini bekerja bermati-matian tanpa mengira waktu ataupun cuti dalam melaksanakan tanggungjawab mereka kepada negara. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan

Lantik Gopal seolah-olah AG tak hargai pegawainya sendiri

2 Komen

  1. Ala senang je nak tahu sebabnya… Kes RM1.69 billion tu agak-agaknya berapa fees yg DP Naban akan charge KERAjaan PeeH?… Duit rakyat tu….
    Mcm tu jugak kes 1mdb… Semua tu lubuk duit utk lawyer-lawyer pro-LTTE… PUIIII punya AG KERAjaan PeeH…

  2. Setuju dgn pandangan/pendapat Mohamad Hanif mengenai perlantikan peguam swasta mewakili kerajaan. Samada Peguam Negara tidak kenal pegawai2 di jabatan beliau atau sengaja tidak mahu mengenali pegawai beliau. Sepatutnya, sebagai seorang ketua jabatan, beliau perlu mengenali kemahiran2 pegawai di bawahnya. Bukan mengambil jalan mudah dgn mengambil peguam swasta. Ini akn memberi impak negatif kpd Jabatan Peguam Negara – mungkin pegawai yg ada tidak berkemahiran atau ‘ada udang di sebalik batu’ atau mungkin ada sedikit habuan utk Jabatan Peguam Negara atau pelbagai persepsi yg difikirkan oleh rakyat umum. Fikir2lah……

Comments are closed.