Jeneral Agus Andrianto

JAKARTA – Polis Sumatera Utara menahan seorang pemilik ladang kelapa sawit yang dipercayai menjadi dalang pembunuhan dua orang wartawan yang juga aktivis, Maraden Sianipar dan Maratua P. Siregar.

Dua wartawan tersebut ditemui mati dengan kesan tikaman di seluruh badan dan dibuang berhampiran sebuah ladang kelapa sawit milik PT Sei Alih Berombang yang turut dikenali sebagai koperasi pelbagai perniagaan (KSU) Amelia di kampung Wonosari pada 30 Oktober.

Penahanan ahli perniagaan yang dikenali sebagai WP itu dibuat selepas polis menahan empat suspek yang dipercayai mempunyai kaitan langsung dengan pembunuhan tersebut.

Empat suspek tersebut hanya diberi kod nama DS, JH, VS dan SH. Polis masih lagi memburu tiga lagi suspek yang dikenal pasti sebagai JS, R, HS.

Ketua Polis Sumatera Utara, Jeneral Agus Andrianto percaya, pembunuhan tersebut berlaku kerana pertikaian mengenai tanah di antara syarikat berkenaan dan pekebun tempatan.

Agus berkata, ahli perniagaan tersebut membayar JS RP15 juta (AS$1,068) untuk membunuh seorang pekebun bernama Ranjo Siallagan bagi mengakhiri pertikaian yang berlanjutan tetapi pekebun tersebut masih hidup.

Tambahnya, WP kemudian mengarahkan JH untuk membunuh Maraden.

Pada hari pembunuhan 29 Oktober, Agus berkata, Maraden dan Maratua pergi ke ladang tersebut dan semua suspek kecuali ahli perniagaan dan JH bertemu mereka.

Keempat-empat suspek membawa senjata jenis kelewang (seperti pedang), tambah Agus.

Pengarah Siasatan Jenayah. Senior Komisioner Andi Rian berkata, ahli perniagaan tersebut membayar DS sebanyak RP1.5 juta tunai.

Setiap suspek memainkan peranan berbeza dalam pembunuhan berkenaan, kata polis.

Sebelum bertugas sebagai wartawan bebas, Maraden dan Maratua bekerja dengan sebuah akhbar mingguan Pilar Indonesia Merdeka.

Kedua-duanya terkenal sebagai aktivis yang memperjuangkan penduduk tempatan dalam pertikaian tanah.- MalaysiaGazette