Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama Calon Barisan Nasional, Datuk Dr.Wee Jack Seng bersalaman dengan sebahagian penyokong di Tanjung Piai Johor. foto AFFAN FAUZI, 02 NOVEMBER 2019

PONTIAN – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan, pertuturan yang keluar daripada mulut Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu merupakan hakikat politik sebenar berlaku di negeri pentadbirannya.

Beliau mendakwa, permasalahan yang timbul di Perak ketika ini adalah disebabkan DAP tidak memberikan dukungan kepada Ahmad Faizal selaku Menteri Besar.

“Kita tahu bahawa mereka mempunyai calon orang Melayu yang didatangkan untuk jadi Menteri Besar Perak.

“Bagi saya itu masalah mereka, yang penting di Perak kita cuma kekurangan dua kerusi saja dan yang dua itu pun telah menyeberang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Ahmad Zahid mengulas penularan rakaman Ahmad Faizal sedang berkempen bersama calon PH untuk PRK Parlimen Tanjung Piai, Karmaine Sardini.

Dalam rakaman itu, Ahmad Faizal dipercayai sedang berbual dengan penduduk di kawasan itu mengenai situasi di Perak.

Ahmad Faizal yang juga Pengerusi PH Perak memberitahu penduduk dan mengakui mengenai kepayahannya menjaga kepentingan Melayu dan Islam, kerana didakwa tidak sealiran dengan kehendak sekutunya iaitu DAP.

Tetapi Ahmad Faizal menafikan beliau bermasalah dengan DAP di Perak selepas rakaman itu tersebar.

Jelasnya, kenyataannya di dalam video itu dipetik di luar konteks dan hanya sebahagian kata-katanya dipetik dan bukannya keseluruhan perbualan.

Dalam pada itu Ahmad Zahid berharap agar hubungan yang renggang di Perak itu akan menjadi titik tolak kepada BN untuk merampas kembali negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

“Saya harap kita tak perlu tunggu hingga PRU15. Mungkin dengan permasalahan yang timbul dalam kalangan mereka menunjukkan yang baik untuk kita menggunakan budi bicara politik bagi menggabung jalinkan parti-parti untuk bersama dengan kita,” ujarnya. – MalaysiaGazette