GEORGE TOWN – Warga China, Hong Kong dan Taiwan didapati masih membawa masuk daging babi ke negara ini walaupun kerajaan Malaysia telah mengeluarkan larangan kemasukan produk hasilan babi untuk membendung penyebaran virus African Swine Fever (ASF).

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang, Zarina Ramli berkata, antara produk berisiko dalam penularan virus ASF termasuk babi hidup, daging babi segar, daging babi sejuk beku, daging babi proses seperti babi salai dan sosej.

“Tujuan larangan pengimportan ini adalah untuk menghalang risiko kemasukan penyakit ASF selain ia juga boleh merosakkan industri penternakan negara,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata selain daripada larangan pengimportan, kemasukan daging babi dan produk berasaskan babi yang dibawa oleh penumpang di laluan udara juga adalah dilarang.

Zarina berkata, sejak 1 Okt sehingga semalam, Maqis Pulau Pinang telah menggagalkan cubaan membawa masuk produk hasilan haiwan termasuk babi dari pelbagai negara bernilai RM2,500 di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Beliau berkata pemeriksaan mendapati semua hasilan haiwan seperti daging babi, itik dan ayam seberat 113 kilogram (kg) itu tidak mempunyai permit import (IP) daripada Maqis dan Sijil Kesihatan Veterinar oleh pihak berkuasa veterinar negara asal.

Selain itu Zarina berkata Maqis Pulau Pinang turut menahan konsainan buah mangga harumanis sebanyak 65 kg bernilai RM800 yang dibawa masuk oleh penumpang dari Thailand tanpa sebarang dokumen yang sah.

Beliau berkata, larangan pengimportan itu bagi menghalang risiko kemasukan serangga perosak seperti kumbang pengorek buah mangga ke Malaysia yang berpotensi merosakkan industri mangga negara.

Katanya, selain daripada larangan pengimportan, kemasukan buah mangga oleh penumpang di laluan udara juga adalah dilarang dan perbuatan mengimport tanpa permit yang sah daripada Maqis menjadi kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin & Pemeriksaan Malaysia 2011.

“Pihak Maqis sentiasa mengambil langkah serius bersama agensi penguatkuasaan di sempadan dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara,” katanya. – MalaysiaGazette