SHAH ALAM – Kerajaan Selangor komited dalam usahanya mengurangkan kadar penggunaan kenderaan peribadi di lebuh raya dan jalan raya utama negeri itu dengan memperkenalkan perkhidmatan pengangkutan awam Bas Selangorku.
Menteri Besarnya, Amiruddin Shari berkata, sehingga kini kerajaan negeri menyediakan lebih 140 unit bas dengan memperkenalkan lebih 40 laluan strategik di sekitar Selangor.
Kata beliau, perkhidmatan Bas Selangorku itu disediakan secara percuma kepada rakyat Selangor sebagai usaha menggalakkan mereka menggunakan pengangkutan awam untuk ke tempat kerja atau destinasi masing-masing.
“Sehingga kini, saya dimaklumkan lebih 15 juta rakyat Selangor telah menggunakan perkhidmatan Bas Selangorku ini dan usaha memperkemas serta menggalakkan lagi penggunaannya sedang terus dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap merasmikan sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2019 peringkat kebangsaan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad.
Berhubung program pembebasan karbon di Selangor, Amiruddin berkata, pihak berkuasa tempatan menerusi majlis bandaraya dan majlis perbandaran telah menanam lebih 62,600 pelbagai jenis pokok di sekitar bandar.
Ujar beliau, pokok itu kelak akan menghasilkan oksigen yang bakal memberikan keseimbangan dengan gejala asap kenderaan yang menghasilkan karbon dan membahayakan kesihatan.
Beliau turut menjelaskan usaha kerajaan negeri menangani isu dan cabaran perbandaran seperti pemilikan rumah, kesesakan lalu lintas, kos sara hidup yang tinggi dan bencana alam.
Jelas beliau, isu dan cabaran itu berlaku tanpa mengira garis sempadan sama ada di peringkat persekutuan atau negeri yang pastinya akan menerima kesan kepada rakyat.
“Buat masa ini kerajaan negeri mengatur startegi dan usaha bagi memastikan Selangor terus mampan dan berdaya bersaing serta strategi yang dirangka ini berdasarkan 10 gugusan ekonomi yang mana ia adalah sebahagian daripada idea yang terangkum dalam majlis perbandaran.
“Saya cuba mengklusterkannya di peringkat negeri dengan melihat setiap daerah dan lokaliti serta kawasan berdasarkan potensi dan aset yang boleh diketengahkan sebagai nilai tinggi pembangunan.
“Gugusan ekonomi itu ialah industri teknologi tinggi, industri aeropolis dan aeroangkasa, otomotif dan industri sokongan serta industri pelabuhan dan maritim bagi mewujudkan pembangunan seimbang bandar dan luar bandar,” katanya.
Beliau turut menyatakan, kerajaan negeri juga memanfaatkan limpahan pembangunan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk merapatkan jurang khususnya di kalangan lokaliti dan penduduk setempat.
“Kita mempunyai kawasan yang begitu padat penduduk, diikuti begitu rancak aktiviti pembangunannya dengan kitaran kehidupan kadang-kadang mencecah 18 hingga 19 jam sehari bergerak.
“Tetapi ada beberapa lokaliti khususnya di kawasan utara Selangor masih bergerak dengan agak perlahan walaupun kerajaan negeri telah menganjurkan serta meluluskan beberapa usaha perancangan pembangunan,” katanya.
Pada ketika ini, kata beliau, dua kerangka besar yang selalu menjadi keprihatinan dalam perancangan bandar dan perancangan pembangunan ekonomi sama ada di peringkat kerajaan tempatan atau kerajaan negeri ialah isu ingin bergerak setapak dan maju ke hadapan ke arah ‘smart city’ atau ‘smart state’.
Selangor katanya, cuba menjadi ‘smart state’ pertama bukan saja di Asia Tenggara, malah di dunia dengan beberapa bandaraya di Asia atau Eropah mengetengahkan inisiatif ‘smart city’. – MalaysiaGazette
















