Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajya. foto IQBAL BASRI, 11 NOVEMBER 2019

PUTRAJAYA – Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak akan dikenakan tindakan disiplin, kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Menurut Perdana Menteri, ini kerana kenyataannya berkenaan DAP yang tular baru-baru ini tidak seperti yang dilaporkan.

Sebaliknya kata beliau Ahmad Faizal terpaksa menggunakan contoh kedudukannya di Perak untuk mempertahankan dirinya kerana dikelilingi oleh nelayan yang disifatkan Dr Mahathir sebagai agresif.

“Dia berhadapan dengan nelayan yang begitu agresif jadi mereka menganggap Pakatan Harapan ini dikuasai oleh DAP.

“Jadi dia terangkan walaupun dia seorang, ramai DAP di Perak tapi dia masih jadi Menteri Besar menguasai kerajaan, bukan bermakna kerana DAP menguasai kerajaan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu di Yayasan Kepimpinan Perdana.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, demi sokongan nelayan kepada Pakatan Harapan di Tanjung Piai maka Ahmad Faizal perlu memberi penerangan bahawa Pakatan Harapan tidak dikuasai okeh DAP semata-mata.

“Orang ini ekstrem, kalau kita kata duduk di bawah DAP kalahlah (Pakatan Harapan), orang itu tak sokonglah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar Perak menerusi video yang tular semasa membantu calon Pakatan Harapan berkempen.

Ahmad Faizal dipetik sebagai berkata bahawa dirinya keseorangan melawan puak-puak DAP di Perak.

Rentetan daripada video itu, DAP Perak dan Pemuda Sosiolis DAP Kebangsaan menuntut supaya Ahmad Faizal memohon maaf dan dihadapkan ke lembagai disiplin parti. -MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:

DAPSY mahu MB Perak dirujuk ke badan disiplin parti