Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad bercakap pada sidang media mengenai pembangunan semula Kampung Baru di Kementerian Wilayah Persekutuan, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 11 NOVEMBER 2019

PUTRAJAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menyelesaikan pembayaran kos bahan binaan bagi projek pembinaan semula Bulatan Dato’ Onn di Kuala Lumpur setelah diarahkan Mahkamah Rayuan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad berkata, walaupun pihaknya telah membayar penuh kos itu kepada kontraktor lantikan DBKL, tetapi syarikat berkenaan gagal menjelaskannya kepada sub-kontraktor yag membekalkan bahan binaan untuk projek terbabit.

Katanya, sub-kontraktor Seagate Global Trading Sdn Bhd (SGTSB) telah membawa kes itu ke Mahkamah Tinggi menuntut DBKL membayar ganti rugi yang ditanggung syarikatnya berikutan kegagalan kontraktor utama melangsaikan harga bahan binaan.

“Dalam kes itu SGTSB menang dan kita diarahkan oleh mahkamah supaya membayar balik. Walaupun banyak pihak memberi pandangan kita tidak perlu bayar kerana kes itu melibatkan kontraktor utama lantikan DBKL dengan SGTSB, tetapi kita tetap bayar.

“Kita bayar tuntutan mereka sebanyak RM4.1 juta pada 22 Oktober lalu atas dasar keinginan kita hendak selesaikan masalah yang berlaku dan sikap kita, bila kita tersilap atau terlepas pandang, kita tidak akan menganiayai pihak berkenaan.

“Kita bela mereka dan kitar bayar balik kepada mereka. Bayaran yang asal kita akan tuntut semula syarikat kontraktor utama lantikan DBKL itu,” katanya pada sidang media khas berhubung perkembangan Kampung Baru di pejabatnya di Kementerian Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Pada sidang media itu juga, beliau menyatakan kementeriannya kini dalam proses untuk menyambung semula dua projek terbengkalai di sekitar ibu kta Kuala Lumpur iaitu Hotel Hyatt dan Plaza Rakyat.

Katanya, kedua-dua projek itu terhenti sejak 27 tahun lalu berikutan masalah kewangan disebabkan kegawatan ekonomi yang melanda negara pada 1997.

Kata beliau, projek itu akan dimulakan tidak lama lagi setelah jurutera kontraktor berkenaan selesai melakukan pemeriksaan ke atas struktur bangunan itu.

Khalid bagaimanapun, tidak menyatakan kos penyambungan dua projek itu kerana kerja penelitian struktur masih dilakukan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast