Setiausaha Agung Islamic Financial Services Board, Dr. Bello Lawal Danbatta bergambar di Sasana Kijang, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 22 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) yang berpangkalan di Kuala Lumpur adalah sebuah badan dan agensi perundangan standard antarabangsa yang berjaya meskipun pernah berdepan dengan pelbagai cabaran serta pengalaman pahit dan manis sepanjang 17 tahun penubuhannya.

Badan ini ditubuhkan di Malaysia pada tahun 3 November 2002 dan beroperasi sepenuhnya 10 Mac 2003.

Setiausaha Agung IFSB Malaysia, Dr Bello Lawal Danbatta memberitahu, latar belakang kewujudan IFSB cukup menarik kerana ia seiring dengan peranan Malaysia yang mempromosikan kewangan Islam selama 40 tahun.

Menurutnya, inisiatif Malaysia ini telah mendorong kewujudan satu badan yang boleh menyokong perkhidmatan kewangan Islam global.

Beliau berkata, sektor perbankan dan kewangan Islam adalah unik, justeru ia memerlukan peraturan dan perundangan berbeza sebagai garis panduan pembangunan dan daya tahan industri.

“Lantaran itu, sembilan ahli pengasas termasuk Malaysia membuat kesimpulan bahawa wujud keperluan untuk memiliki penetapan standard seperti Jawatankuasa Basel yang memantau perbankan, IOSCO atau Pertubuhan Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti dan Persatuan Penyelia Insurans Antarabangsa (IAIS)

“Ia bertujuan menjadikan perkhidmatan kewangan Islam lebih kompetitif, berdaya tahan dan stabil seperti mana kewangan konvensional,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Temubual Ekslusif bersama Setiausaha Agung Islamic Financial Services Board, Dr. Bello Lawal Danbatta di Sasana Kijang, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 22 OKTOBER 2019.

Lebih bertuah lagi, Bank Negara Malaysia telah ke hadapan untuk mengambil peranan sebagai sekretariat kepada IFSB di Malaysia dan cadangan itu mendapat sokongan Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu menjadi Perdana Menteri ke-4.

Kesungguhan Malaysia itu hingga wujudnya Akta Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam 2002, yang mana memberi imuniti dan keistimewaan yang biasanya diberikan kepada organisasi antarabangsa dan diplomatik.

Bello menambah, pemilihan Malaysia sebagai Sekretariat IFSB, sekali gus mendedahkan kepimpinan Malaysia dalam kewangan Islam dan memberi negara ini peluang memainkan peranan sebagai pemimpin pembangunan kewangan Islam di dunia.

“Ini adalah komitmen yang diberikan kepada Bank Negara Malaysia dan Kerajaan Malaysia dengan wujudkan IFSB.

Bello menjangkakan perjalanan IFSB Malaysia akan terus mencabar pada masa-masa akan datang, selain terus memikul tugas dan tanggungjawabnya dalam menerbitkan standard bagi operasi kewangan Islam.

Beliau berkata, mandat IFSB adalah membangun dan menerbitkan standard berhemah bagi daya tahan kestabilan perkhidmatan kewangan Islam dengan fokusnya kepada tiga sektor iaitu perbankan Islam, pasaran modal Islam dan takaful.

“IFSB berfungsi membangunkan standard dan menyokong pelaksanaan perkhidmatan kewangan Islam melalui woksyop, penyelidikan, program kesedaran dan libat urus dengan ahli-ahlinya dalam pelbagai aspek.

“Dengan pendekatan ini, ahli-ahlinya akan menyokong mandat kestabilan dan daya tahan industri perkhidmatan kewangan Islam global,” tambahnya. – MalaysiaGazette