Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad bercakap pada sidang media mengenai pembangunan semula Kampung Baru di Kementerian Wilayah Persekutuan, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 11 NOVEMBER 2019

PUTRAJAYA – Kerajaan kekal dengan tawaran RM1,000 kaki persegi untuk harga tanah Kampung Baru, harga tertinggi ditawarkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) setakat ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad berkata, harga itu bersamaan RM43.5 juta bagi setiap ekar tanah yang akan dibangunkan oleh kerajaan demi untuk mencapai matlamat asal iaitu mengekalkan kependudukan orang Melayu di Kuala Lumpur.

Katanya, walaupun bekas Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani menyatakan tawaran itu tidak logik dan memerlukan persetujuan 100 peratus pemilik asal, namun kerajaan mempunyai tiga sebab kenapa pemilik harus bersetuju dengan tawaran itu.

“Tujuan kita hendak membangunkan Kampung Baru adalah untuk mengekalkan matlamat asal kewujudan kampung ini, yang mana tanah anugerah ini diberikan untuk memastikan penduduk Melayu ada di Kuala Lumpur.

“Untuk mencapai matlamat itu, dan menambahkan lagi bilangan kependudukan Melayu di Kuala Lumpur, kita perlu bergerak ke depan. Kita kena bangunkan Kampung Baru mengikut aliran zaman.

“Saya yakin dan percaya pemilik akan bersetuju apabila mereka memahami tujuan itu dan menjualnya kepada kerajaan dengan harga paling tinggi kita tawarkan ini,” katanya pada sidang media khas mengenai perkembangan Kampung Baru di pejabatnya di Kementerian Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemilik tidak akan digelar sebagai pengkhianat sekiranya mereka menjualkan tanah itu kepada kerajaan, sebaliknya mereka telah melaksanakan amanah waris asal yang mahu penduduk Melayu terus tinggal kekal di Kuala Lumpur.

Beliau juga meminta pemilik tidak terpengaruh dengan cakap-cakap ‘tukang karut’ yang kerjanya hanya menghasut, sedangkan yang menanggung kerugian adalah mereka, bukan tukang canang.

Kata Khalid, ketika ini pegawainya sedang berusaha bertemu dengan pemilik asal, bukan penduduk Kampung Baru untuk meyakinkan mereka mengenai hasrat kerajaan bagi membangunkan kawasan itu.

Justeru, beliau yakin pemilik asal akan bersetuju dengan tawaran itu, apabila seramai 1,716 daripada keseluruhan 5,359 pemilik sudah ditemui.

Kata beliau, dari 1,716 pemilik itu, 93.7 peratus menyatakan persetujuan, selebihnya 6.3 peratus lagi masih mengambil sikap berdiam diri.

“Baki 3,643 pemilik lagi sedang dalam peringkat perjumpaan seorang demi seorang oleh pegawai Perbadanan Pembangunan Kampung Baru.

“Saya yakin pemilik akan bersetuju kerana untuk memenuhi amanah ini, saya bukan meminta mereka berkorban sehingga menjual harga yang murah. Kita juga akan memiliki saham dalam projek pembangunan ini.

“Mereka diberi tanah ini dahulu untuk menjaga kepentingan orang Melayu di Kuala Lumpur. Apabila jual, kamu dapat manfaat dengan harga yang begitu tinggi.

“Tanah orang Melayu setahu saya sama ada di Tanjung Piai atau di Ulu Langat, mana ada kerajaan tawar sehingga RM43 juta seeker. Hanya di Kampung Baru ini,” katanya. – MalaysiaGazette