PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini menolak untuk memberi kebenaran kepada pemohon bagi memulakan tindakan mencabar keabsahan sekolah vernakular bertentangan dengan Perlembagaan.
Hakim Tan Sri Azahar Mohammad ketika membaca teks alasan penghakiman selama 43 minit memberi alasan, tindakan itu keseluruhannya adalah kelihatan berkaitan persoalan sama ada Seksyen 17 dan Seksyen 28 Akta Pendidikan 1996 sebagai bertentangan (ultravires) dengan Perkara 152 (1)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah memberitahu, sekiranya itu adalah niat pemohon, maka tindakan itu hendaklah dimulakan di Mahkamah Tinggi mengikut Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan iaitu sekiranya sesuatu undang-undang itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, ianya adalah terbatal setakat yang berlawanan dengan Perlembagaan.
“Jadi, pemohon tidak boleh diberikan kebenaran di bawah Perkara 4 (4) Perlembagaan untuk meneruskan cabaran ini di peringkat merit kerana forum yang sesuai untuk dibawa tindakan ini adalah di Mahkamah Tinggi Malaya di bawah Perkara 4 (1), bukannya terus ke Mahkamah Persekutuan.
“Atas alasan tersebut, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kebenaran (Leave) kepada pemohon tanpa kos,” katanya.
Sementara itu, pemohon, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz menerima baik keputusan itu dan mengucapkan terima kasih kepada peguamnya, Datuk Shaharudin Ali, Aidil Khalid dan Rahim Sinwan serta lima peguam firmanya kerana bertungkus lumus mengkaji, berbincang dan berhujah untuk penyediaan kes itu di Mahkamah Persekutuan.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada peguam pemerhati yang hadir bersama di mahkamah yang diketuai Hanif Khatri, Datuk Zainul Rijal, Datuk Seri Zulkifli Nordin, Datuk Reza Hassan, Zubir Embong dan Harmy Yusoff.
“Terima kasih juga kepada semua yang hadir ke Mahkamah Persekutuan iaitu Prof. Emeritus Datuk Hashim Yaacob mewakili Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) serta NGO seperti Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM).
“Saya dinasihatkan peguam saya untuk menunggu alasan penghakiman rasmi daripada Mahkamah Persekutuan sebelum membuat apa-apa tindakan lanjut.
“Atas nasihat ini, saya meminta semua pihak untuk bersabar kerana cabaran ini belum berakhir dan akan dimulakan semula di Mahkamah Tinggi Malaya dengan tatacara dan kaedah yang berbeza,” katanya.
Katanya, tiada pihak yang menang atau kalah lagi dengan keputusan Mahkamah Persekutuan itu kerana isu substaintif dan merit, sama ada sekolah jenis kebangsaan ini sah atau tidak disisi perlembagaan belum diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.
“Yang diputuskan hari ini hanyalah Mahkamah Persekutuan tidak memberikan kebenaran kepada pemohon untuk memulakan tindakan ini terus ke Mahkamah Persekutuan mengikut Perkara 4 (4) Perlembagaan Persekutuan.
“Tanpa niat menghina mahkamah, saya merizabkan ketepatan kenyataan media ini yang hanya dibuat berdasarkan pemahaman dan pendengaran saya terhadap pengumuman keputusan mahkamah tadi dan saya bertanggungjawab untuk memperbetulkan mana-mana perenggan sekiranya terdapat kekhilafan padanya selepas sahaja saya menerima alasan penghakiman rasmi daripada mahkamah,” katanya. – MalaysiaGazette
















