PUTRAJAYA – “Saya bukan broker. Saya (kerajaan) hendak beli (tanah Kampung Baru) untuk saya hendak bangunkan bersama dengan pemilik.
Demikian tegas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad menjawan tuduhan beliau sebagai broker dalam isu pembelian tanah Kampung Baru di ibu kota Kuala Lumpur oleh pembangkang.
Kata beliau, broker sebenarnya membeli tanah kemudian menjual dengan harga lebih tinggi kepada pihak tertentu, tetapi kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah mengumum secara terbuka untuk membelinya dengan harga RM1,000 kaki persegi.
“Pihak pembangkang menggelarkan saya sebagai broker,” katanya pada sidang media khas berhubung perkembangan terbaharu Kampung Baru di pejabatnya di Kementerian Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.
Menurut Khalid, beliau hairan sikap pembangkang, sepanjang sesi perbahasan Belanjawan 2020 di Parlimen tempoh hari, tidak ada seorang pun mengemukakan soalan mengenai isu Kampung Baru untuk beliau menjawabnya.
“Apabila saya buat penggulungan perbahasan Belanjawan 2020, saya telah bertanya kepada semua pegawai saya, ada atau tidak dalam perbahasan oleh semua Ahli Parlimen sama ada kerajaan mahupun pembangkang, isu Kampung Baru diungkitkan.
“Saya difahamkan tidak ada walau satu soalan dikemukakan oleh semua pembahas bajet. Bila saya buat penggulungan, saya kena jawab soalan yang dikemukakan.
“Bila saya bangun untuk menjawab soalan yang dikemukakan, tiba-tiba Ketua Pembangkang (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) bangun dan kemukakan soalan Kampung Baru. Mereka kata (saya) broker la, itu la ini la, sedangkan perbahasan yang mereka lakukan tidak timbulkan isu Kampung Baru,” katanya.
Katanya, apabila pembangkang tidak bertanya, bagaimana beliau hendak hendak jawab.
“Bila Ketua Pembangkang kata sudah dijangka saya tidak akan jawab mengenai Kampung Baru itu, betullah saya tidak jawab, sebab dia tidak tanya.
“Tidak ada sesiapa tanya mengenai Kampung Baru dalam perbahasan itu. Jadi, memang saya jawab mengenai isu lain.
“Dalam soal isu Kampung Baru, dia orang tanya pada hari itu dan saya kena jawab soalan lain dahulu,” katanya.
Serentak itulah, kata Khalid, pembangkang menggelarkannya sebagai broker, sedangkan apa yang dilakukan kerajaan PH meng’nyah’kan kemungkinan wujudnya broker.
“Sebenarnya broker ini ialah orang yang beli tanah kemudian dia jual balik. Saya (kerajaan) bukan hendak beli tanah Kampung Baru untuk dijual balik, malah tindakan saya dan cara yang saya lakukan berhubung tanah Kampung Baru ini ‘mengyahkan’ kemungkinan wujudnya broker.
“Macam mana boleh dituduh broker, sedangkan kita umumkan secara terbuka harga yang kita tawarkan kepada pemilik tanah Kampung Baru. Kita buat tawaran harga yang terbuka, tidak dirahsiakan, harganya berapa satu kaki persegi, kita umumkan,” katanya.
Kalau broker, katanya, harga yang kerajaan hendak beli ini mesti dirahsiakan dan selepas itu Orang-orang tengah akan datang berjumpa pemilik untuk membuat tawaran. – MalaysiaGazette
















