KUALA LUMPUR – Peguam, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz telah mengarahkan pasukannya untuk memfailkan tindakan sivil di Mahkamah Tinggi di sini untuk memutuskan isu undang-undang sama ada Seksyen 28 dan Seksyen 17 Akta Pendidikan 1996 bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau telah mengarahkan pasukan peguamnya menerusi Tetuan Azam Aziz Shaharudinali & Co untuk berbuat demikian dalam masa terdekat selepas Mahkamah Persekutuan Putrajaya menolak permohonannya mencabar keabsahan sekolah vernakular semalam.
“Ini adalah susulan keputusan Hakim Besar Malaya semalam yang memutuskan saya tidak perlu memfailkan permohonan kebenaran di Mahkamah Persekutuan.
“Dengan itu, saya telah dinasihati bahawa Mahkamah Persekutuan telah menjelaskan Mahkamah Tinggi di negara ini mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan isu undang-undang sama ada Seksyen 28 dan Seksyen 17 Akta Pendidikan 1996 bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, dan oleh itu adalah tidak sah dan terbatal.
“Saya adalah pemohon dalam kes Azam Aziz lawan Menteri Pendidikan dan kerajaan Malaysia ini,” katanya dalam kenyataan kepada media.
Menurut Mohd. Khairul Azam, ini menunjukkan sesetengah laporan media tempatan berhubung penghakiman Mahkamah Persekutuan semalam adalah tidak betul dan mengelirukan.
Katanya, media berkenaan melaporkan kononnya tindakan beliau untuk mendapatkan deklarasi bahawa sekolah vernakular adalah tidak sah telah pun diputuskan meritnya oleh Mahkamah Persekutuan.
Kata beliau, tindakannya di Mahkamah Tinggi jelas menunjukkan Mahkamah Persekutuan belum lagi memutuskan sama ada Seksyen 28 dan Seksyen 17 Akta Pendidikan 1996 adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan atau tidak.
Menurut beliau, keputusan semalam hanya berakhir di Mahkamah Persekutuan sahaja apabila mahkamah tidak mahu membicarakan kes itu mengikut Perkara 4(4) Perlembagaan.
“Yang belum difailkan adalah cabaran di bawah Perkara 4(1) Perlembagaan di Mahkamah Tinggi Malaya dengan isu merit permohonan juga belum dibicarakan serta diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan,” katanya. – MalaysiaGazette