PETALING JAYA – Penyanyi Fauziah Latiff tidak menyangka apabila diberikan kepercayaan untuk membawa watak tokoh besar tanah air yang juga isteri kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali dalam filem yang bakal dibintanginya Mahathir: The Journey.
Mengakui teruja bercampur gementar, Fauziah atau mesra dengan panggilan Gee berkata, dia kini mula melakukan kajian dan penyelidikan untuk meneliti perwatakan sebenar Siti Hasmah yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan yang diraih Mahathir selama ini.
“Saya masih lagi mendalaminya, ini satu cabaran sangat berat dan begitu besar.
“Apatah lagi ini adalah filem pertama saya. Tapi saya menerimanya kerana saya menganggap ia adalah satu cabaran. Saya pun masih belajar dan ia adalah satu penghormatan.
“Perasaan memang gementar tapi adalah tanggungjawab yang sangat berat tapi saya pasti rakan-rakan lain juga akan membantu,” katanya ketika ditemui dalam sidang media pada majlis pelancaran filem tersebut di Sheraton Hotel semalam.
Mahathir The Journey diterbitkan oleh Reliance Media Group dan diarahkan oleh Profesor Dr. Hatta Azad Khan itu akan memaparkan kisah sosok Tun Dr. Mahathir Mohamad secara dekat menerusi layar perak.
Sementara itu, watak utama iaitu Tun Dr Mahathir pula akan dipegang oleh Azhar Amir yang turut mengakui terbit rasa takut ketika diberi kepercayaan untuk membawa watak tersebut.
“Secara jujur saya katakan ketika diberi watak itu menggigil juga saya kita telah ada perbincangan dan ada latihan selepas ini.
“Boleh katakan semua deria kita terpaksa kita buka dan untuk menjadi seorang yang memang hebat kerana tanggungjawab itu adalah besar,” katanya.
Mahathir The Journey bakal mengangkat kisah perjuangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selama 22 tahun memegang jawatan itu pada kali pertama.
Filem tersebut turut menampilkan kisah benar perjuangan tokoh disegani itu yang dilantik semula sebagai Perdana Menteri ketujuh pada 2018 selepas 16 tahun bersara.
Filem itu turut menampilkan 29 watak penting, termasuk Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang dipegang oleh Afiew Hussain, Datin Paduka Marina Mahathir (Ning Baizura), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Dian P Ramlee), Datuk Seri Anwar Ibrahim (Hilal Azman), Nurul Izzah Anwar (Lisdawati) dan Gobind Singh Deo (Muhammad Harminder Singh).
Filem terbabit yang menelan belanja RM6 juta akan memulakan penggambaran pada pertengahan Disember depan.
Ia dijadualkan menemui penonton pada Julai tahun depan sempena bulan kelahiran Mahathir. – MalaysiaGazette