Dr. Dominic Lau Hoe Chai. foto AFFAN FAUZI, 12 NOVEMBER 2019

PONTIAN – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) tidak akan bergabung dengan Pakatan Harapan (PH), malah tidak akan menjalin kembali hubungan dengan Barisan Nasional (BN).

Demikian tegas Presidennya, Datuk Dominic Lau apabila memberitahu, parti itu juga tidak pernah dibiayai oleh PH untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Tanjung Piai sebagaimana tuduhan yang tersebar di laman sosial.

Katanya, beliau kesal dengan fitnah-fitnah tersebut yang sengaja dibuat ketika kempen PRK berkenaan sedang berlangsung dengan tuduhan kononnya Gerakan mendapat dana daripada PH menerusi Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Tidak, kita tidak terima sebarang dana daripada PH. Fitnah-fitnah di media sosial ini mesti diberhentikan. Kita nak kempen yang adil.

“Janganlah gunakan taktik-taktik ini untuk menang dalam PRK Tanjung Piai,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata, tidak ada sebarang laporan polis dibuat berhubung tuduhan di laman sosial berkenaan kerana fitnah itu sering dipadam dan digantikan dengan yang lain.

Dalam perkembangan lain, Dominic menggesa agar BN menjelaskan kepada pengundi di Tanjung Piai mengenai lapan syarat yang dicadangkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika mula-mula mahu menjalinkan hubungan kedua-dua parti pada Mac lalu.

Katanya, Hadi ada meletakkan lapan syarat perikatan rasmi jika BN mahu menjalinkan kerjasama dan sehingga kini penjelasan mengenainya masih belum dibuat.

“Mereka ada tanggungjawab menjelaskan sama ada BN telah terima lapan syarat itu.

“Kita mahu mengambil kesempatan dalam PRK Tanjung Piai ini untuk diperjelaskan perkara tersebut kepada pengundi-pengundi.

“Jika BN setuju dengan syarat itu ia perlu ditunjukkan dengan suara yang besar dan jika tidak, kita minta diperjelaskan perikatan rasmi itu diterima atau tidak,” tambah beliau. – MalaysiaGazette