Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz
Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Cabaran terhadap keabsahan sekolah vernakular yang ditolak Mahkamah Persekutuan Putrajaya semalam, belum berakhir.

Peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, keputusan itu hanya berakhir di Mahkamah Persekutuan sahaja apabila mahkamah tidak mahu membicarakan kes itu mengikut Perkara 4(4) Perlembagaan.

Kata beliau, yang belum difailkan adalah cabaran di bawah Perkara 4(1) Perlembagaan di Mahkamah Tinggi Malaya dengan isu merit permohonan juga belum dibicarakan serta diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

“Jadi, kes ini belum berakhir. Ia baru bermula, walaupun akhbar berbahasa Cina meraikan kejayaan palsu “kemenangan” mereka di Mahkamah Persekutuan semalam berkaitan isu sekolah vernakular.

“Tidak mengapalah, ini semua propaganda perkauman. Mereka ada media cetak. Saya ada media Facebook dan aplikasi Whatsapp yang jauh lebih berpengaruh.

“Untuk peringatan semua, cabaran terhadap keabsahan sekolah vernakular ini masih belum berakhir,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Semalam, Mahkamah Persekutuan Putrajaya menolak untuk memberi kebenaran kepada pemohon bagi memulakan tindakan mencabar keabsahan sekolah vernakular yang dikatakan bertentangan dengan Perlembagaan.

Hakim Tan Sri Azahar Mohammad ketika membaca teks alasan penghakiman memberi alasan, tindakan itu keseluruhannya kelihatan berkaitan persoalan sama ada Seksyen 17 dan Seksyen 28 Akta Pendidikan 1996 sebagai bertentangan (ultravires) dengan Perkara 152 (1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah memberitahu, sekiranya itu adalah niat pemohon, tindakan itu hendaklah dimulakan di Mahkamah Tinggi mengikut Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan iaitu sekiranya sesuatu undang-undang itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, ianya adalah terbatal setakat yang berlawanan dengan Perlembagaan.

Menurut Khairul Azam, dalam soal keputusan itu, beliau membuat kesimpulan tidak ada siapa menang, siapa kalah lagi.

“Kalau kamu nak bagi harapan palsu kepada pembaca kamu untuk meraikan kejayaan palsu kamu semalam, itu kamu punya pasal.

“Yang aku punya pasal adalah aku sedang siapkan dokumen saman untuk difailkan di Mahkamah Tinggi pula,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast