Bekas Gebenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz (kiri) bercakap diiringi Ketua Pengarah Pembiayaan Belanjawan dan Pengurusan Risiko, Kementerian Kewangan Indonesia, Dr. Luky Alfirman (dua kanan), Timbalan Ketua Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin (kanan) dan Pengurus Bank Dunia untuk Malaysia, Dr Firas Raad (dua kiri) pada Forum Kewangan Lestari di Pusat Konvensyen Jakarta, Indonesia. foto SYAFIQ AMBAK, 12 NOVEMBER 2019

JAKARTA – Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yakin kewangan Islam mampu menjadi peneraju sektor kewangan terhadap perubahan keadaan iklim.

Beliau berkata, kewangan Islam adalah satu sistem yang komprehensif dalam institusi kewangan kerana memiliki instrumen lengkap seperti pasaran modal, sukuk dan pasaran wang yang diperlukan dalam mengurus dan menangani risiko perubahan iklim

Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia itu berkata, objektif perubahan keadaan iklim dan persekitaran juga adalah selari dengan ciri-ciri kewangan Islam yang berdaya tahan.

“Malah, sistem kewangan Islam mendapat kerjasama yang baik oleh kerajaan-kerajaan dengan wujudnya jawatankuasa syariah, lembaga syariah dan sistem kewangannya yang bersepadu.

“Disebabkan faktor-faktor ini, kewangan Islam boleh meneraju dalam sektor kewangan terhadap perubahan iklim, bukan berada di tengah atau luar lingkungannya,” katanya ketika menjadi panel Forum Kemampanan Kewangan yang bertajuk Perubahan Iklim: Risiko dan Peluang Dalam Kewangan Islam.

Forum itu dianjurkan sempena Sidang Kemuncak Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) di Pusat Konvensyen Jakarta di sini.

Bagaimanapun, penerima Anugerah Diraja Kewangan 2018 itu berkata, kewangan Islam perlu memberi fokus kepada perubahan-perubahan dalam instrumen dan perundangan.

Perubahan-perubahan itu diperlukan dalam industri, justeru kewangan Islam perlu meningkatkan produk-produk yang ditawarkan.

Selain itu, rangka kerjanya juga menjadi cabaran kepada kewangan Islam kerana ia memberi pendedahan kepada ketelusan dan perkongsian keuntungan.

“Isu-isu berkenaan perlu ditangani kerana kewangan Islam mempunyai potensi yang baik dalam menguruskan isu-isu alam sekitar,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.