Timbalan Pengerusi SPR, Azmi Sharom bercakap kepada media selepas meninjau pusat mengundi pada pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) P. 165 Tanjung Piai di Rumah PERKEP, Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 12 NOVEMBER 2019.

PONTIAN – Memasuki hari ke-11 kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai kali ini, sebanyak 90 kesalahan kempen telah berjaya disiasat dan ditangani Pegawai Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) Suruhanjaya Pilihan Raya.

Timbalan Pengerusi SPR, Dr. Azmi Sharom berkata, kebanyakannya melibatkan kesalahan pemasangan kain rentang di lokasi yang salah dan gagal mempamerkan nama pencetak pada bahan kempen parti bertanding.

Katanya, setakat ini 31 laporan polis berkaitan kesalahan kempen dibuat dan tiga daripadanya telah dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana melibatkan unsur rasuah.

“Tiga kes itu adalah dua melibatkan pemberian kad sim prabayar telekomunikasi dan satu lagi berkaitan pemberian wang saguhati RM1,000 kepada nelayan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Beliau terdahulu bersama Setiausahanya Datuk Mohamed Elias Abu Bakar meninjau proses pengundian awal melibatkan 280 pegawai dan anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian diriingi Ketua Polis Superintendan Mustafa Bakri Salleh.

Setakat 10 pagi tadi 53 peratus atau 151 orang telah menunaikan tanggungjawab dan Azmi menegaskan beliau gembira kerana ramai pengundi awal menggunakan kad pengundi iaitu inisiatif yang diteruskan SPR untuk keselesaan pengundi ketika hadir mengundi.

Ditanya aduan pengundi tidak menerima kad pengundi pada PRK sebelum ini, katanya pihak SPR sedang melakukan yang terbaik untuk menangani isu itu dan ia bergantung kepada penguasa pos yang mungkin diberikan alamat pelik oleh pengundi.

“Namun itu tidak menjadi masalah sebab pengundi boleh menyemak di tempat mengundi selain mencapai rangkaian digital yang disediakan SPR untuk menentukan pusat dan saluran mengundi,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette