KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan berjaya melahirkan ramai vendor dalam pelbagai industri berkepentingan menerusi program Perkongsian Inovasi Vendor (PIV) yang diperkenalkan sebelum ini.
Timbalan Menteri, Datuk Dr. Mohd Hatta Ramli berkata, hasil kejayaan itu, kementeriannya telah membina vendor yang asalnya mempunyai syarikat kecil sehingga berpindah kepada syarikat utama.
“Antara usaha kita ialah untuk melihat kembali pencapaian vendor melalui program pembangunan yang kita bermula sejak kita memperkenalkan industri otomotif dahulu.
“Menerusi program pembangunan ini, kita membina vendor dan sehingga hari ini kita ada 21 syarikat ulung atau utama kita yang menggunakan sistem vendor.
“Syarikat utama ini pula mengambil lebih 1,200 vendor untuk membekalkan pelbagai jenis barangan kepada mereka. Ini satu kejayaan besar kerajaan melahirkan vendor yang berteknologi tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Vendor Innovation Partnership (VIP) di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) di sini, hari ini.
Dr. Mohd Hatta mewakili menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Md. Yusof.
Menurut beliau, bukan setakat itu sahaja, ada vendor program VIP juga kini telah berpindah menjadi syarikat utama di bawah kementerian itu setelah berjaya meningkatkan perniagaan mereka.
Katanya, dalam sistem pembangunan vendor itu, mereka tidak hanya kekal sebagai vendor selama-lamanya.
“Apabila mereka sudah dari vendor atau meningkatkan lagi industri perniagaan, mereka akan berdepan dengan keadaan yang lebih mencabar di luar sana, sebagai syarikat utama.
“Program pembangunan vendor ini penting sebagai asas untuk membantu syarikat berkenaan bagi mendapatkan ruang atau peluang perniagaan dengan dibantu oleh syarikat utama.
“Dengan kata lain, mereka ini seboleh-bolehnya akan menjadi usahawan yang berjaya,” katanya.
Jelas beliau lagi, kementeriannya dan kerajaan khususnya akan memperluaskan lagi sektor tertentu dengan harapan vendor berkenaan lebih berjaya dan membesarkan syarikat masing-masing.
Antara sektor yang digalakkan oleh kerajaan untuk vendor berkenaan ialah industri aeroangkasa dan mobiliti, yang mana mereka boleh berkongsi pengalaman dengan syarikat utama yang terlibat dalam bidang berkenaan.
“Ini peluang yang lebih banyak kita sediakan, bukan saja kepada vendor, tetapi kepada syarikat utama yang terlibat dengan sektor lain.
“Kita mengharapkan vendor ini tidak hanya melekat dengan satu syarikat utama sahaja, mereka boleh juga menjadi vendor kepada syarikat utama lain bagi menambah nilai kepada syarikat mereka,” katanya. – MalaysiaGazette