Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berucap pada Majlis Pelancaran Program Vendor Innovation Partnership di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 12 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan menambah enam lagi syarikat utama yang akan membantu menaiktaraf usahawan atau vendor daripada segi teknologi.

Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Mohd Hatta Ramli, antara yang memberi sokongan kepada kerajaan menerusi program Vendor Innovation Partnership (VIP) ialah Celcom.

Jelas beliau, syarikat telekomunikasi terbesar itu telah menandatangani perjanjian (MoU) dengan SME Bank untuk sama-sama membantu meningkatkan keupayaan vendor agar pada satu masa nanti berjaya menjadi syarikat utama.

Katanya, SME Bank pula antara salah satu agensi di bawah kementerian itu yang berperanan membantu dari segi pembiayaian atau pinjaman modal kepada vendor yang berjaya.

“Ini bukan saja untuk vendor SME Bank, kita ada satu polisi untuk membolehkan SME Bank ini terlibat sehingga 50 peratus kepada perolehan kerajaan.

“Ini adalah polisi yang mesra kepada SME Bank kita supaya sumbangannya kepada program vendor ini dapat ditingkatkan.

“Kita harap polisi baru ini akan menguatkan peranan SME Bank dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh usahawan kita untuk meningkatkan kejayaan mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program VIP di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) di sini, hari ini.

Jelas Dr. Mohd Hatta lagi, setakat ini syarikat utama terbesar yang banyak membantu usahawan ialah Tenaga Nasional Berhad (TNB), yang mempunyai 777 vendor bawah kementerian itu.

Katanya, ada juga syarikat utama lain yang mempunyai 100 dan puluhan vendor, sekali gus banyak menyumbangkan kepada kejayaan kerajaan meningkatkan taraf usahawan di negara ini.

Beliau turut mengalu-alukan syarikat vendor baru hendak menyertai program pembangunan itu boleh berbuat demikian kerana kementeriannya mempunyai agensi yang boleh memberi pinjaman kepada yang layak.

“Dari segi pembangunan VIP ini kita banyak juga bergantung kepada syarikat utama baru, contohnya, ada enam dalam senarai kita yang akan terlibat dalam program ini dan setiap syarikat ini akan ada vendor masing-masing.

“Tentunya dari 21 yang sedia ada, campur dengan enam yang baharu, usaha kerajaan untuk melahirkan seramai mungkin usahawan atau vendor akan lebih berjaya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast