GAZA- Tentera Israel membunuh seorang komander tertinggi Islamic Jihad dalam satu serangan udara di bandar Gaza dan mengancam untuk melakukan serangan seterusnya selepas ini.

Kumpulan Islamic Jihad dalam satu kenyataan mengesahkan kematian Bahaa Abu al-Ata, dalam serangan tersebut.

Sejurus selepas serangan, sekumpulan roket dilancarkan dari Gaza menghala Israel dengan siren dibunyikan di bahagian tengah dan selatan negara berkenaan.

Sumber perubatan memberitahu, puluhan rakyat Israel telah diberi rawatan segera.

Sebagai balasan, puluhan serangan udara dilancarkan ke Gaza dan telah mengorbankan sekurang-kurangnya 10 rakyat Palestin dan mencederakan kira-kira 40 orang yang lain.

Terkini, Menteri Pertahanan Israel, Naftali Bennet mengumumkan darurat khas selama 48 jam di kawasan-kawasan yang berada dalam lingkungan 80 kilometer berhampiran Gaza.

Menurut pejabat media kerajaan Israel, tentera negara berkenaan telah melakukan sekurang-kurangnya 30 serangan udara dan artileri di beberapa kawasan di Semenanjung Gaza.

“Lebih 20 serangan dan 10 artileri dilakukan di beberapa kawasan yang berbeza sejak awal Selasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Sasaran termasuk tanah pertanian, bangunan kediaman dan beberapa kawasan puak Palestin.- Agensi