Gabenor Bank Indonesia, Perry Warjiyo berucap pada Sidang Kemuncak Ke-14 Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) 2019 di Pusat Konvensyen Jakarta, Indonesia. foto SYAFIQ AMBAK, 13 NOVEMBER 2019

JAKARTA – Bank Indonesia sedang memberi tumpuan kepada transformasi digital dalam sistem ekonomi dan kewangannya seiring dengan ledakan revolusi itu pada masa ini.

Ia membabitkan polisi inovasi, inovasi teknologi dan inovasi kemampanan pembangunan.

Gabenor Bank Indonesia, Dr Perry Warjiyo berkata, bank-bank Indonesia perlu segera menjalani transformasi sepenuhnya supaya sistem perbankan menjadi lebih terbuka dalam menyediakan perkhidmatan pembiayaan, pendanaan dan pemindahan.

Proses itu adalah keperluan masa kini kerana gaya hidup sekarang sudah jauh berbeza dengan dahulu.

“Generasi baru sudah tidak mahu bersusah payah untuk keluar rumah ke restoran untuk mencari makanan, cukup dengan menggunakan telefon pintar.

“Malah, generasi kini juga tidak mahu beratur di kaunter bank lagi, hanya memerlukan telefon bimbit untuk melakukan transaksi.

“Untuk itu, sudah menjadi keperluan bank-bank Indonesia menawarkan lebih banyak produk dan perkhidmatan secara digital kerana ia keperluan,” katanya semasa berucap pada Sidang Kemuncak Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) di sini hari ini.

Tambahnya, teknologi kewangan (fintech) juga perlu dipromosikan supaya perkhidmatan perbankan terbuka boleh berfungsi secara saling hubung antara bank-bank.

Dengan adanya promosi teknologi kewangan ini, ia memberi kelebihan dalam menyokong pertumbuhan ekosistem syarikat pemula niaga atau ‘startup‘ di Indonesia.

“Promosi fintech akan memberi kelebihan khususnya kepada perniagaan e-perdagangan, perusahaan kecil dan sederhana. Sebagai contohnya, fintech memberi kelebihan dalam sistem pembayaran bagi masa sebenar,” katanya.

Dr Perry juga membayangkan syarikat-syarikat startup di Indonesia boleh saling berhubung dengan perbankan di Malaysia, Thailand dan Singapura yang telah terlebih dahulu melaksanakan fintech dalam sistem perbankan dalam tempoh dua tahun lagi.

Ujar beliau, transformasi digital itu memudahkan transaksi merentas sempadan dalam segenap aktiviti ekonomi pada masa depan, sekali gus memberi kesejahteraan kepada ummah. – MalaysiaGazette