Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah mengeluarkan Maklumat Keselamatan (Safety Information) berkenaan Amaran Bahaya Debu Gunung Berapi di Sulawesi Utara, Indonesia- Foto Hiasan

KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) diingatkan supaya fokus kepada isu dan masalah industri dalaman penerbangan tempatan dengan mengadakan perbincangan terbuka dengan semua pihak termasuk kesatuan sekerja secara terbuka.

Kesatuan & Sekretariat Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) berkata, bukan sesuatu yang sukar bagi semua syarikat penerbangan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) antarabangsa.

“Pihak dalam negara ini harus faham bahawa banyak elemen yang menyebabkan Malaysia diklafikasikan kategori 2. Salah satu isu adalah isu keselamatan.

“Jangan ambil jalan mudah kerana ini melibatkan imej negara kita. Masalah yang sentiasa kesatuan hadapi adalah apabila isu-isu keselamatan dibangkitkan tidak diambil berat oleh banyak pihak.

“Mana ada perbincangan secara menyeluruh dulu? Hanya sekarang kesatuan kami nampak ada pendekatan baru oleh beberapa pihak di dalam kerajaan,” katanya NUFAM dalam satu kenyataan, hari ini.

Isnin lalu, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat (AS) telah menurunkan penarafan keselamatan udara Malaysia, yang menyekat syarikat penerbangan negara daripada menambah penerbangan ke negara itu.

Dengan penarafan baharu itu, penerbangan daripada Malaysia tidak dapat memulakan perkidmatan baru dan dihadkan kepada tahap sekarang terhadap setiap perkhidmatan sedia ada ke AS.

Pesawat dari Malaysia juga boleh dikenakan pemeriksaan tambahan di lapangan terbang AS.

NUFAM juga berkata, langkah baharu perlu diambil oleh semua pihak khususnya syarikat penerbangan negara untuk mengembalikan Malaysia kepada kategori 1.

“Isu dan perkara yang diketengah sentiasa mempunyai impak besar kepada imej negara kerana perniagaan syarikat penerbangan merangkumi banyak kategori termasuk keuntungan dan pendekatan sesebuah syarikat di dalam negara tersebut,” katanya.

Kata NUFAM lagi, Kementerian Pengangkutan (MOT) digesa meneliti semula insiden kehilangan pesawat MH370 dan MH17 yang ditembak jatuh pada 2014 serta isu kemalangan melibatkan Lion Air dan AirAsia Indonesia.

“Kedua-dua syarikat ini juga ada kaitan dengan Malaysia. Insiden keselamatan yang berlaku kecil atau besar mesti diambil

“Kita sungguh leka dan mengambil jalan mudah untuk tutup (kes lampau),” katanya lagi. – MalaysiaGazette