Reaksi Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamad Sabu bercakap pada sidang media sambil diperhatikan Menteri Pertahanan Republik Indonesia, TYT H. Prabowo Subianto sempena Lawatan Rasmi ke Malaysia di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 14 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Malaysia komited untuk mempertingkatkan kerjasama dua hala dengan Indonesia khususnya dalam pertahanan bagi kepentingan bersama untuk mencapai keharmonian, kestabilan dan kemakmuran di rantau Asia Tenggara.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, hasrat itu dizahirkan kedua-dua negara dalam lawatan rasmi dua hari Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto ke negara ini, sejak semalam.

“Malaysia sentiasa menganggap Indonesia sebagai jiran penting dan sahabat akrab.

“Malaysia amat gembira dengan jalinan diplomatik kedua-dua negara sejak 62 tahun lalu yang kini menjadi begitu istimewa, harmoni dan berada pada tahap tertinggi di semua peringkat.

“Malaysia juga adalah negara pertama dikunjungi Menteri Pertahanan Indonesia yang baharu sejak mengambil alih jawatan itu,” katanya pada sidang media bersama Prabowo di Kementerian Pertahanan Malaysia, di sini, hari ini.

Mohamad Sabu
Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamad Sabu bersalaman ketika menyambut Menteri Pertahanan Republik Indonesia, TYT H. Prabowo Subianto sempena Lawatan Rasmi ke Malaysia di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 14 NOVEMBER 2019

Mohamad juga berkata, dalam perbincangan dua hala itu, beliau dan Prabowo mengakui bahawa masih terdapat ruang kerjasama yang boleh diteroka kedua-dua negara itu dari segi pertahanan.

“Perbincangan turut menyentuh mengenai ancaman keselamatan bukan tradisional khususnya keganasan yang turut menjadi fokus utama bagi kedua-dua negara,” katanya.

Sementara itu, Prabowo berkata, beliau diarahkan Presiden Indonesia, Joko Widodo untuk memastikan kerjasama itu terpelihara khususnya hubungan pertahanan kedua-dua negara itu.

“Saya yakin hubungan pertahanan kami semakin baik. Banyak pemikiran dan pandangan saya dengan Mohamad adalah sama.

“Kami akan mencari bentuk kerjasama pertahanan baharu seperti bidang industri teknikal pertahanan,” katanya.

Lawatan ini merupakan lawatan rasmi pertama ke luar negara oleh Prabowo selepas beliau dilantik sebagai Menteri Pertahanan pada 23 Oktober 2019.

Kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Indonesia menerusi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) telah lama terjalin melalui Jawatankuasa Am Persempadanan yang telah ditubuhkan pada 1972.

Hubungan pertahanan ini turut diperkukuhkan melalui beberapa inisiatif keselamatan sub-rantau seperti Malacca Straits Patrol (MSP) dan Trilateral Cooperative Arrangement (TCA) yang melibatkan Filipina. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast