KUALA LUMPUR- Prestasi pertumbuhan negara dijangka lebih mencabar pada suku ketiga dan keempat tahun ini, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut dan meminta semua pihak menantikan pengumuman rasmi yang bakal dibuat oleh Bank Negara Malaysia, esok.
“Saya rasa kita seharusnya menantikan pengumuman rasmi angka terkini suku ketiga.
“Sudah tentu kita menikmati pertumbuhan memberangsangkan dalam suku kedua namun begitu kita menjangkakan suku ketiga dan keempat tahun ini lebih mencabar,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Siri Forum Menteri anjuran INTAN di sini hari ini.
Para penganalisis meramalkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga akan terus tumbuh sederhana kepada 4.1 peratus disumbang oleh pertumbuhan perlahan kesemua sektor.
KDNK berkembang sebanyak 4.9 peratus pada suku pertama dan 4.5 peratus pada suku kedua 2019. -MalaysiaGazette