Program realiti baharu, Malaysia Top Make Up Artist akan bersiaran di Astro Ria bermula 15 Februari depan.

KUALA LUMPUR – Dalam usaha mengangkat kerjaya jurusolek ke peringkat tinggi, usahawan kosmetik, Datuk Alha Alfa tampil dengan program realiti baharu, Malaysia Top Make Up Artist (MUA).

Alha atau nama sebenarnya, Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil, 31, berkata, beliau sanggup melabur  jutaan ringgit bagi memastikan program yang julung kali diadakan itu berjaya mencapai objektif selain mahu mengubah persepsi masyarakat terhadap kerjaya solekan.

Jelasnya, program itu akan mencungkil bakat baharu yang berumur antara 18 hingga 35 tahun untuk mengorak langkah sebagai jurusolek.

“Kami tidak menyediakan kuota bagi peserta lelaki dan perempuan. Sebaliknya, kita akan memilih lapan orang sahaja melalui sesi uji bakat.

“Program ini diharap mampu memberi saingan yang sihat dalam kalangan jurusolek tempatan, sekali gus meletakkan kepercayaan kepada masyarakat mengenai kerjaya ini.

“Selama ini kerjaya mekap artis selalu tidak dipandang kerana banyak bekerja di belakang tabir selain menjaga solekan artis popular tanah air. Jadi saya terpanggil untuk menaikkan lagi industri solekan ini,” katanya pada majlis pelancaran program realiti, Malaysia Top MUA di Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Alha, beliau tidak percaya program itu bakal direalisasikan kerana telah lama menyimpan hasrat untuk menghasilkan program berkenaan,

“Peserta yang berminat boleh menghantar video demonstrasi mekap selama seminit menggunakan produk Alha Alfa iaitu set Boarderless kepada penganjur mulai hari ini hingga 4 Disember depan.

Usahawan kosmetik, Datuk Alha Alfa tampil menaja program realiti baharu, Malaysia Top Make Up Artist.

“Setiap minggu akan ada penyingkiran selepas selesai setiap tugasan. Malah, keseluruhan episod yang dipaparkan bakal diadili juri profesional dipilih penganjur. Kami bawakan otai jurusolek untuk berkongsi pengalaman.

“Mengikut perancangan, program realiti ini akan turut dibawa ke Indonesia selepas selesai misi pencarian di Malaysia,” katanya.

Alha Alfa Legacy menawarkan hadiah wang tunai kepada juara, naib juara dan pemenang tempat ketiga.

Episod pertama bakal disiarkan 15 Februari tahun depan, selama 30 minit di Astro Ria. – MalaysiaGazette