Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersalaman dengan calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini (kanan) pada Majlis Sarapan Pagi Bersama NGO Parlimen Tanjung Piai sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di di Warung 800 Pekan Nanas, di Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 14 NOVEMBER 2019.

PEKAN NANAS – Pengundi di Tanjung Piai dinasihati supaya tidak keliru dan terpengaruh dengan tipu daya pembangkang yang kini menggunakan taktik kotor cuba menunjukkan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai pemimpin UMNO dan Barisan Nasional dengan pakaian biru.

Perdana Menteri mendakwa, kempen kotor itu ‘dilancarkan’ pembangkang yang cuba menunjukkan beliau masih lagi pemimpin kerajaan lama.

“Hari itu dia dia tunjukkan gambar saya pakai baju biru sebagai perdana menteri dan di belakang itu macam saya sedang berkempen untuk calon BN nombor dua.

“Itu satu penipuan, Hari ini dapati ada pamplet (risalah) dikeluarkan suruh sokong Haji Karmaine tapi di sebelah itu ‘buy muslim’. Sengaja nak bagi orang Cina marah.

“Tapi saya tak ingat orang Cina begitu bodoh, boleh ditipu penyangak ini kerana orang Cina lebih arif dalam bidang pilihan raya, saya tak percaya mereka akan undi BN semata-mata poster itu.

“Kita nak tak nak mesti beli dari semua orang, kita tak boleh beli dari satu bangsa sahaja, tak mungkin keperluan kita luas dan kita perlu bekalan dari orang Melayu, Cina dan India dan lain lain.

“Semua menyumbang kepada keperluan kita. Percubaan boikot itu ini tak boleh jalan di Malaysia,” katanya pada sidang media selepas Sarapan pagi bersama NGO Tanjung Piai sempena kempen Pilihan Raya Kecil di sini.

Ditanya sama ada tindakan pembangkang itu boleh mempengaruhi pengundi di Tanjung Piai, beliau bagaimanapun menafikannya.

“Saya tak ingat macam itu, lagipun pengundi Tanjung Piai bukan bodoh kerana mereka sudah lalui 14 pilihan raya termasuk PRK. Mereka arif dengan penipuan ini. Pembangkang penipu.

“Kali ini BN yang menipu. Kita dapati orang Tanjung Piai berhati-hati dalam perkara itu, ” ujarnya.

Ditanya mengenai kebimbangan pengundi Cina mengenai isu yang dimainkan pembangkang iaitu isu UEC dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Dr. Mahathir berkata, pihaknya akan mencari jalan penyelesaian.

“Kita cari jalan untuk menyelesaikan pertikaian itu kerana kita tahu di Malaysia kita tak boleh layan semua orang, tidak ada kemugkinan boleh layan semua permintaan daripada semua kaum, saya biasa berkata, apabila kita dapati semua kaum tak puas hati, bermakna kita layan sama rata.

“Kalau satu puas hati, yang lain pula akan kata tak puas hati, jika semua tak puas hati, kamu juga tidak dapat apa-apa tapi negara dapat juga disebabkan semua bersatu hati menerima kerajaan campuran, negara kita akan maju,” tegasnya.

Dr. Mahathir ketika diminta mengulas dakwaan pembangkang bahawa PH cuba memainkan sentimen rasis berkata, MCA dan UMNO memulakan sentimen perkauman secara terbuka.

“Mereka cuba bercakap mengenai orang Melayu Islam tapi walaupun Melayu Islam tapi suruh undi calon dia bukan Islam.

“Jadi dia cakap sahaja kononnya nak sokong orang Melayu. Di Malaysia ini seorang calon, wakil rakyat adalah wakil semua kaum. Saya bukan perdana menteri orang Melayu saja. Saya perdana menteri untuk semua kaum di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette