KUALA LUMPUR- Sime Darby Bhd. (Sime Darby) akan terus mengekalkan perniagaannya di Hong Kong meskipun protes di wilayah autonomi di selatan China itu semakin teruk.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, Hong Kong kekal sebagai pasaran penting bagi kereta-kereta mewah kumpulan tersebut di samping menjadi gerbang untuk mereka ke China.

Ketika ini, Hong Kong menyumbang 5.9 peratus kepada perolehan pendapatan kumpulan yang disumbang daripada bahagian motor dan perindustrian.

“Kami sudah bertapak di Hong Kong sejak sekian lama. Jadi, kami ada legasi di sana.

“Kami perlu memastikan pekerja-pekerja kami selamat, itu yang paling utama,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan Sime Darby di sini hari ini.

Sime Darby mempunyai 1,200 pekerja di Hong Kong.

“Saya kira ia adalah sebuah pasaran yang sangat matang.

“Ia juga gerbang ke pasaran China. Hong Kong memiliki masyarakat yang kaya dan pasaran bagi kereta mewah sangat tinggi,” katanya lagi.

Beliau juga memaklumkan Sime Darby adalah pembekal alat ganti kepada pelabuhan kerajaan Hong Kong dengan majoriti bot menggunakan enjin Caterpillar yang mana Sime Darby merupakan pengedar eksklusif.

Dalam pada itu, Sime Darby memperuntukkan di antara RM500 juta sehingga RM600 juta perbelanjaan modal bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2020.

Menurut Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Mustamir Mohamad, terdapat beberapa potensi penggabungan dan pengambilan ali yang sedang dirancang di bahagian industri dan motor.- Bernama