Timbalan Presiden Amanah Negara merangkap Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub bercakap semasa sesi sidang media semasa ketika mengadakan lawatan ke Pusat Media sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Stadium Mini Pontian, Johor. foto AFFAN FAUZI, 14 NOVEMBER 2019

PONTIAN – Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata beliau tidak khuatir dengan hasil kajian dan analisis kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai yang meramalkan Barisan Nasional (BN) akan menang pada Sabtu ini.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN) itu menjelaskan, kajian seumpama bebas dilakukan mana-mana penganalisis politik dan beliau tidak khuatir dengan hasil dapatan pada kempen yang hanya berbaki 48 jam lagi.

“Tidak mengapa kalau kita merasakan sedikit terkebelakang menerusi hasil perolehan kajian itu. Kalau kita rasa lagi kurang lagi sokongan, jentera akan dilipatgandakan untuk meraih sokongan.

“Kajian-kajian itu yang katakan Barisan Nasional mendahului PH itu, sama juga dengan kita juga ada laporan katakan PH mendahului berbanding calon lain untuk menang.

‘Tapi saya dari dulu lagi tak amalkan sikap complacent (berpuas hati) tetapi bekerja keras lagi dan menambah kemenangan memihak PH dan saya akan jadi mediator untuk jadi diplomat yang memainkan peranan hubungkan PH dan masyarakat setempat supaya mendukung dasar pembangunan yang dibawakan demi kesejahteraan mereka bersama,” katanya selepas melawat Pusat Media PRK Tanjung Piai di Stadium Mini Pontian.

Beliau merakamkan penghargaan sambil memuji komitmen yang ditunjukkan media dalam membantu kerajaan meyampaikan dasar.

“Saya ucapkan terima kasih kepada smua rakan-rakan media, budayawan dan seniman yang sentiasa menganggap anda begitu penting dalam menjadi rakan kongsi pintar dalam komunikasi antara krajaan Pakatan Harapan dan rakyat.

“Saya sentiasa mengangkat tinggi darjat anda semua. Saya rasa dalam sejarah politik tak pernah keluarkan sebarang kenyataan memperlekeh peranan media walaupun pernah ketika dahulu dihalang pembangkang (BN) dan biar hubungan silaturrrahim ini terjalin erat antara kita sampai bila-bila,” katanya.

Ditanya mengenai langkah drastik memujuk 12 peratus pengundi atas pagar Tanjung Piai memilih PH, Salahuddin berkata, langkah terbaik ialah mendekati sendiri bersama jentera pilihan raya dengan menyampaikan mesej tentang dasar dan cerita kejayaan PH. – MalaysiaGazette