Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. foto HAZROL ZAINAL, 09 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR- Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sanggup menggadaikan kedudukannya sebagai Menteri Kewangan sekiranya janji untuk memberikan peruntukan sekurang-kurangnya RM30 juta kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TARUC) tidak ditunaikan.

Ia perlu dilakukan selepas MCA melepaskan semua kepentingan politiknya dalam institusi tersebut.

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Agung DAP itu sekali lagi mengulangi ikrar untuk memberikan bantuan kewangan tersebut seperti mana yang telah dijanjikan sebelum ini.

Katanya, peruntukan sebanyak RM30 juta setahun bermula tahun 2019 itu bukan melibatkan pendirian beliau seorang sahaja malah turut diluluskan secara bertulis oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 15 Oktober 2019.

Ia kemudian disahkan oleh Pejabat Perdana Menteri sekali lagi pada 21 Oktober lalu asalkan TARUC diuruskan secara profesional dan bukan dikawal oleh MCA.

“Bagi mengelakkan polemic politik yang berpanjangan mengenai sama ada ikrar peruntukan minimum RM30 juta setahun kepada TARUC ini tulen atau tidak, biarlah saya nyatakan dengan jelas dan tegas bahawa saya sanggup membayar harga politik tertinggi sebagai Menteri Kewangan sekiranya ikrar peruntukan minimum sebanyak RM30 juta kepada TARUC bermula 2019 ini yang dibuat menggunakan kapasiti saya sebagai Menteri Kewangan tidak ditunaikan, sesudah MCA melepaskan pegangan politiknya ke atas TARUC,” katanya.

Guan Eng juga kesal dengan media-media berbahasa Mandarin dan Inggeris yang enggan menyiarkan kenyataan penuh beliau mengenai isu TARUC.

Katanya, perbuatan tersebut membolehkan MCA menyembunyikan fakta sebenar dan prinsip yang dipegangan kerajaan Persekutuan yang mahu memisahkan dana kerajaan dengan parti-parti politik bagi mengelakkan konflik kepentingan serta salah guna kuasa.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast