KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah membuat pinjaman kasar sebanyak RM138.8 bilion dalam tempoh setahun, menjadikan hutang kerajaan Persekutuan sehingga akhir Jun lalu berjumlah RM799.1 bilion.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, perangkaan itu dijawab Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada Isnin lalu berdasarkan soalan bertulis beliau.
“Dalam jawapan bertulis Menteri Kewangan kepada saya bertarikh 11 November 2019, kerajaan yang diterajui PH memperakui bahawa hutang kerajaan Persekutuan sehingga akhir Jun 2019 ialah RM799.1 bilion.
“Ini berbanding hanya RM725.2 bilion pada akhir Jun 2018. Maknanya, kerajaan telah membuat pinjaman kasar sebanyak RM138.8 bilion dalam tempoh setahun memerintah,” katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.
Beliau berkata, antara kritikan utama PH ketika menjadi pembangkang dahulu ialah hutang kerajaan yang semakin meningkat di bawah pentadbiran (bekas) Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Namun, kata Dr. Mohd Khairuddin, jelas selepas setahun lebih mentadbir, PH ternyata gagal menguruskan ekonomi dengan baik sehingga berlaku peningkatan hutang yang tinggi dalam tempoh setahun.
“Ini belum diambil kira kejatuhan mata wang purata 0.1 peratus yang diperakui oleh Timbalan Menteri Kewangan di Dewan Rakyat semalam, sedangkan PH dahulu menuduh Najib adalah punca kejatuhan mata wang dahulunya.
“Ia sudah tentu memberi kesan kepada kenaikan harga barangan di pasaran khususnya melibatkan barangan yang diimport dari luar negara,” kata beliau.
Beliau menyatakan, kejatuhan nilai eksport minyak kelapa sawit, harga getah yang masih lagi rendah, nisbah pengangguran 3.3 peratus dengan bilangan penganggur 519,800 orang kerana banyak syarikat dan kilang gulung tikar disebabkan ketidaktentuan ekonomi, semua ini adalah manifestasi kegagalan PH dalam menguruskan ekonomi negara.
Kerajaan memerlukan suasana politik yang stabil bagi menguruskan ekonomi negara.
Namun, ujarnya, ia sesuatu yang tidak berlaku di saat ini kerana sesama PH sendiri pun bertembung dan berlawan sebagaimana perang dingin dalam parti PKR dan pertembungan dalam isu peralihan kuasa sebagai Perdana Menteri. – MalaysiaGazette