SEPANG – AirAsia telah memperluaskan penawaran atas talian dengan menawarkan penerbangan daripada syarikat lain selari dengan transformasi airasia.com ke arah menjadi peneraju platform perjalanan dan gaya hidup terkemuka Asia Pasifik.

Dengan kerjasama syarikat teknologi perjalanan terkemuka Kiwi.com, destinasi-destinasi seperti London, Dubai, Madrid dan Auckland kini tersedia kepada lebih daripada 50 juta pelawat yang memilih untuk membuat tempahan penerbangan, hotel, aktiviti dan banyak lagi di airasia.com.

Ketua Pegawai Eksekutif airasia.com Tan Sri Tony Fernandes teruja dengan perkembangan ini kerana ketika memulakan operasi AirAsia pada tahun 2001, pihaknya tidak pernah terfikir untuk menjual tiket penerbangan daripada pesaing-pesaing.

“Tetapi seperti yang selalu saya katakan, jangan pernah katakan tidak. Hari ini, melalui kerjasama dengan Kiwi.com, kami melalui fasa transformasi untuk menjadi lebih daripada sekadar sebuah syarikat penerbangan dengan merealisasikan visi airasia.com sebagai sebuah platform pelancongan sehenti di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sementara itu, Ketua Pengedaran Penerbangan airasia.com Rajiv Kumar berkata, selain perkongsian strategik dengan Kiwi.com, yang memfokuskan kepada perkongsian kandungan dan teknologi, AirAsia juga meneroka peluang untuk menjadi rakan kongsi langsung dengan syarikat penerbangan lain dan syarikat yang melengkapi perkhidmatan rangkaian dan pelancongan sedia ada melangkaui Asia Pasifik.

Melalui Kiwi.com, pengguna laman web AirAsia boleh menempah perjalanan ke lebih daripada 100 buah syarikat penerbangan ke destinasi-destinasi yang tidak dikendalikan oleh AirAsia, termasuk Eropah, Australia, New Zealand, Timur Tengah dan Amerika Syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kiwi.com Oliver Dlouhý pula berkata, pihaknya berbangga apabila Kiwi.com dipilih untuk memacu transformasi AirAsia dan aspirasinya dalam menjadikan airasia.com sebuah platform perjalanan dan gaya hidup terkemuka.

“Kami mempunyai banyak rangkaian syarikat penerbangan dan perkhidmatan lapangan terbang dan kami bangga kerana dapat membuka platform mereka ke seluruh dunia melalui AirAsia dan para pelanggannya,” ujar beliau.

Untuk meraikan pengumuman ini dan sebagai rakan rasmi Piala Davis oleh Rakuten, yang berlangsung pada 18-24 November 2019 di Madrid, Sepanyol, AirAsia melancarkan kempen pemasaran global yang menampilkan kakitangan Allstar Sepanyol, Ketua Produk airasia.com, Pablo Sanz Salcedo.

Sempena pelancaran ini, tambang promosi termasuk semua ditawarkan ke Madrid dari Kuala Lumpur, Bangkok, Jakarta dan Sydney dari hanya RM99/THB999/IDR333,000/AUD199* (USD25).

Tambang promosi seterusnya ditawarkan pada RM499/THB4,999/IDR1,699,000/AUD399* (USD125) akan tersedia untuk tetamu yang terlepas tawaran terdahulu.

Tempah tambang promosi ke Madrid, Sepanyol di airasia.com pada 16 November 2019 bermula jam 9.00 pagi (GMT+8) untuk perjalanan segera sehingga 31 Mac 2020.

Bagaimanapun AirAsia menetapkan maksimum dua penumpang untuk setiap transaksi.

Penerbangan dikendalikan oleh syarikat penerbangan pihak ketiga dan tersedia untuk tempahan dari Kuala Lumpur, Bangkok, Jakarta dan Sydney pada 16 November 2019, tertakluk pada terma dan syarat Kiwi.com dan untuk tempahan di web sahaja.

Kempen ini diwujudkan di sebalik penstrukturan semula syarikat, yang memisahkan operasi syarikat penerbangan AirAsia daripada perkhidmatan perjalanan dan gaya hidupnya, airasia.com.

Sejak penyusunan semula itu diumumkan pada Ogos tahun ini, lebih daripada 700 kakitangan Allstar telah direkrut di seluruh Asia Pasifik. Sebuah pejabat airasia.com baharu juga akan dibuka di pusat bandar Kuala Lumpur pada awal tahun depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast