KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan melancarkan kempen Kami #PilihSihat, sebuah portal rasmi yang menggabungkan 53 pegawai perubatan di laman sosial Twitter.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kempen anjuran MedTweetMY itu akan berkongsi maklumat kesihatan semasa, selain menjawab soalan berkaitan isu kesihatan dari orang ramai.
Menurut beliau, kempen Kami #PilihSihat adalah kesinambungan daripada kempen #PerangMelawanMitos yang pernah diadakan pada 2016, sebelum diterjemahkan dalam penerbitan buku Perang Melawan Mitos.
“Sebelum ini MedTweetMY menumpukan usaha memerangi mitos atau maklumat tidak tepat, manakala Kempen Kami #PilihSihat lebih menumpukan kepada pengamalan gaya hidup sihat dan ‘health ownership’.
“Dengan hashtag ini, diharapkan isu perubatan dan kesihatan awam dari pelbagai bidang dapat dibincangkan dan diberikan pendedahan kepada masyarakat,” katanya pada perasmian Mini Simposium Medical Tweet Malaysia (MedTweetMY) di Rumah Tangsi, di sini, hari ini.
Kata Dr. Dzulkefly, kempen Kami #PilihSihat akan menjadi hashtag utama dalam usaha MedTweetMY mempromosikan kesihatan di platform Twitter dan akan dijalankan selama enam bulan.
Ujar beliau, kajian evaluasi Kempen Kami #PilihSihat akan dilaksanakan bagi mengetahui impak hashtag itu. – MalaysiaGazette