KUALA LUMPUR – Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali tidak berpuas hati jawapan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung sebab pembatalan dan penggantungan sesebuah pertubuhan serta status pertubuhan seperti DAP yang memperjuangkan agenda ‘Malaysian Malaysia’.
Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, berdasarkan Seksyen 2A (1) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335), jelas menghendaki semua pertubuhan berdaftar mematuhi Perlembagaan Persekutuan dan negeri-negeri dalam setiap operasinya.
Katanya, jika berlawanan, antaranya dengan kepentingan Raja-raja, agama Islam, Bahasa Kebangsaan dan orang Melayu, maka hendaklah pertubuhan itu dibatalkan.
“Mustahil KDN tidak menyedari banyak sekali aktiviti dan hal ehwal DAP ‘berlawanan dengan, atau berkurangan atau bertentangan terhadap, atau tidak mengambil kira mengenai’ perkara-perkara ini,” katanya dalam kenyataan kepada media.
Tambahan pula, kata beliau, Perlembagaan DAP hanya menyebut mengenai mengiktiraf kebebasan beragama sebagai hak asasi yang merangkumi kebebasan pelbagai agama daripada diancam oleh undang-undang yang bersifat menindas dan akta berunsur diskriminasi, tanpa mengandungi pengiktirafan ke atas kedudukan Islam sebagai agama Malaysia.
Perlembagaan DAP juga, tegasnya, hanya menyebut mengenai memberi hak yang saksama kepada setiap rakyat Malaysia, atau peluang saksama dan mengagihkan kekayaan ekonomi kepada semua rakyat berdasarkan penciptaan nilai dalam pasaran yang bersaing dan tata ekonomi yang menegaskan penciptaan kekayaan dan pengagihan kekayaan yang saksama.
”Perlembagaan parti itu juga hanya menyebut mengenai berjanji untuk mempertingkatkan taraf pendidikan berdasarkan hanya kepada merit dan keperluan, serta memberikan akses penuh dan peluang yang sama kepada pendidikan peringkat awal, menengah dan tinggi, terutama sektor teknologi maklumat yang mengutamakan ilmu, tanpa mengandungi pengiktirafan ke atas kedudukan orang Melayu dan orang asli negeri Sabah dan Sarawak.
“Fasal-fasal Perlembagaan DAP yang dimanifestasikan bercanggah dengan kepentingan Raja-raja, agama Islam, Bahasa Kebangsaan dan orang Melayu lebih jelas dilihat menerusi pendirian dan sikap DAP dalam pelbagai isu seperti pengiktirafan UEC, ratifikasi ICERD dan Statut Rom,” kata beliau.
Katanya, pelik sekali apabila KDN seperti langsung tidak merasakan DAP telah menyalahi Seksyen 2A (1) Akta 335 ini, lebih lagi setelah dua pemimpin parti itu ditahan di bawah SOSMA kerana disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas LTTE. – MalaysiaGazette