KUKUP – Proses mengundi Pilihan Raya Kecil di Parlimen Tanjung Piai dijangka dimulakan pada jam 8 pagi ini.
Setakat ini, cuaca di Tanjung Piai dalam keadaan baik.
Para petugas Suruhanjaya Pilihan Raya seramai 32 orang serta sebilangan besar anggota keselamatan polis sudah mula melakukan persiapan akhir sebelum proses mengundi bermula beberapa minit lagi.
Para petugas media juga sudah mula berkumpul di pusat-pusat mengundi seawal 7 pagi lagi untuk membuat laporan proses mengundi.
Pita kuning SPR dipasang sebagai peringatan dan larangan orang daripada berkumpul pada radius 50 meter dari PDM SK Telok Kerang bagi mengelak penyokong dan parti calon bertanding melakukan sebarang aktiviti yang melanggar peraturan pilihan raya dan aspek keselamatan pengundi.
Keadaan lalu lintas utama ke Kukup hadapan sekolah lancar dan anggota polis trafik bersiap sedia untuk menguruskan aliran kenderaan apabila proses undi dimulakan di kesemua 27 PDM melibatkan DUN Kukup dan DUN Pekan Nanas di Parlimen Tanjung Piai pagi ini.
Di DUN Pekan Nanas PDM SJKC Yung Ming 1dan 2 mempunyai bilangan pengundi berdaftar paling ramai iaitu 4,558 pengundi.
Manakala di DUN Kukup jumlah pengundi berdaftar paling ramai adalah di PDM SJKC Cheow Min di Kampung Duku iaitu seramai 4,405 pengundi
Untuk maklumat seramai 1,942 pengundi berdaftar di Pusat Daerah Mengundi Sekolah Kebangsaan Telok Kerang Kampong Teluk Kerang Pontian hari ini.
Calon Pakatan Harapan Karmaine Sardini, 66, dijangka membuang undi pukul 8 pagi berdasarkan maklumat yang diterima dari pegawai yang menguruskan tentatif program harian calon tersebut.
Beliau juga dibakal mengundi bersama ahli keluarganya iaitu isteri beliau yang juga difahamkan akan mengundi di PDM yang sama pagi ini.
Hari ini seramai 52,698 pengundi akan membuat keputusan di atas kertas undi untuk memilih wakil rakyat baharu mereka selepas penyandangnya Yang juga dari Pakatan Harapan Dr. Md Farid Md Farik telah meninggal dunia akibat komplikasi Jantung pada 21 September lalu.
Karmaine menerima tentangan lima penjuru daripada calon BN Wee Jeck Seng, calon Gerakan Wendy Subramaniam, calon Berjasa Datuk Dr. Ir.Badrulhisham Abdul Aziz dan dua calon bebas anak tempatan Pontian iaitu Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar. – MalaysiaGazette