Tian Chua bersama Prabakaran

KUALA LUMPUR – Mantan wakil rakyat, Tian Chua meminta Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran supaya banyak bersabar menghadapi dugaan ketika ini.

Malah Tian Chua yang juga Naib Presiden PKR menyifatkan tindakan seperti keretanya dibaling telur itu sekadar asam garam selepas bergelar ahli politik yang mahu berjuang untuk rakyat.

“Dulu apa yang kita tidak lalui? Sudah tentu saya tidak setuju dengan apa yang telah berlaku kepada Prabakaran tetapi kita biarkan sahaja pihak berkuasa untuk menyiasatnya.

“Kepada Prabakaran, minta banyakkan bersabar. Ini adalah perkiara biasa sahaja,” katanya.

Tian Chua mengulas insiden baling telur ke arah kereta Prabakaran malam tadi sejurus selepas pemandunya pulang manakala wakil rakyat termuda itu masih lagi sibuk dalam satu mesyuarat di sebuah kafe di Jalan Ipoh.

Susulan insiden berkenaan, Prabakaran juga telah membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan dirinya memandangkan ini adalah kali pertama seumpama demikian berlaku.

Sejak beberapa hari lepas, Prabakaran menjadi perhatian apabila sebanyak 14 buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil mendesaknya meletak jawatan supaya Tian Chua boleh bertanding semula dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) sekaligus kembali menjadi Ahli Parlimen di Batu.

Cadangan itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada 6 November lalu, yang membuat ketetapan pelucutan hak pencalonan Tian Chua sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah tidak sah sekali gus layak bertanding dalam pilihan raya.

Bagaimanapun, Prabakaran semalam mendedahkan dirinya tidak akan meletak jawatan sebaliknya akan terus berkhidmat bagi penduduk Batu sehingga habis penggal.

BACA: Tian Chua tidak pernah desak saya – Prabakaran

Manakala Tian Chua pula menafikan terlibat dengan kumpulan pendesak ini sebaliknya tetap memberikan sokongan kepada Prabakaran untuk menghabiskan penggalnya. –MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:

Selepas didesak letak jawatan, kereta Prabakaran di baling telur pula

1 Komen

Comments are closed.