Pemain Pahang, Mohamadou Sumareh menunjukkan trofi selepas merangkul Pemain Tengah Terbaik pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2019 (ABK19) di Hotel Tenera, Bangi, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 15 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Bintang Harimau Malaya, Mohamadou Sumareh semakin bersemangat untuk membantu skuad kebangsaan untuk satu lagi aksi kelayakan menentang Indonesia pad Selasa ini.

Pemain kelahiran Gambia yang telah menjaringkan tujuh gol di peringkat antarabangsa bersama Malaysia, Sumareh memberitahu setiap aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil mampu dimenangi walaupun lawan akan diberi tentangan sengit.

”Semuanya bukan mustahil dan Bukit Jalil adalah gelanggang kita. Kami akan memberikan tentangan yang sengit kepada mana-mana pasukan.

“Penyokong kini meletak harapan tinggi selepas menewaskan Thailand jika berjaya menewaskan Indonesia, harapan itu akan menjadi lebih besar,” jelas pemain berusia 25 tahun itu.

Dia berkata demikian selepas ditemui Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2019 (ABK2109) yang menobatkannya sebagai Pemain Tengah Terbaik kelmarin.

Sumareh yang juga pemain naturalisasi pertama negara itu menyatakan skuad negara memiliki harapan untuk kembali bersaing selepas menang ke atas Thailand dan peluang menjadi lebih baik jika Harimau Malaya berjaya menjinakkan Sang Garuda pula.

Malaysia akan melayan kunjungan Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa ini untuk aksi kelima Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Indonesia sudah berada di Malaysia sejak seminggu lalu malah sempat turun menyaksikan aksi Malaysia menewaskan Thailand pada Khamis lalu.

Sumareh dan Brendan Gan muncul penjaring gol dalam aksi yang memihak kepada skuad Harimau Malaya dengan kemenangan 2-1 seterusnya memaksa Thailand menyerahkan kedudukan pendahulu kepada Vietnam yang mengejutkan pasukan pilihan, UAE.

Mengulas kemenangan pada ABK2019, Sumareh melahirkan rasa gembira kerana selepas mengharungi musim yang yang panjang, dia mendapat trofi itu.

“Saya fikir Nor Azam Azih dan Brendan Gan juga mempamerkan aksi terbaik sepanjang musim ini, jadi anugerah ini untuk kami semua,” tuturnya lagi. – MalaysiaGazette