Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai bukan setakat suara penduduk di kawasan itu bahkan ia menggambarkan perasaan rakyat seluruh negara yang marah kepada Pakatan Harapan (PH).

Ketua Pembangkang, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun semua menteri PH turun padang semasa berkempen dan memberi janji-janji manis, ia tidak mampu menjadi gula-gula kepada pengundi.

“Rakyat Tanjung Piai sudah tidak mempercayai PH lagi. Bagi mereka cukuplah sekali ditipu, mereka tidak rela ditipu secara berterusan lagi.

“Sebab itu, keputusan PRK Tanjung Piai memberikan mimpi ngeri dan buruk kepada kerajaan PH,” katanya yang juga Naib Presiden UMNO menerusi kenyataan hari ini.

Oleh kerana kemenangan besar yang diraih Barisan Nasional (BN) termasuklah beberapa PRK sebelum ini maka Ahli Parlimen Bera itu berpendirian Parlimen sepatutnya dibubarkan.

“Penolakan rakyat terhadap PH di Tanjung Piai bukanĀ  yang pertama. Kerajaan telah ditolak berturut-turut sebanyak tiga kali sejak PRK Cameron Highlands diikuti Semenyih dan Rantau. Majoriti kekalahan PH meningkat dari 3,000 lebih di Cameron Highlands ke 4,000 lebih di Semenyih dan Rantau sehingga memuncak ke 15,000 lebih di Tanjung Piai.

“Mesej rakyat amat jelas iaitu mereka tidak lagi percaya kepada kerajaan PH untuk menerajui pemerintahan negara ini.

“Oleh itu jika kerajaan benar-benar sensitif dan mendengar suara hati dan nurani rakyat, kerajaan tiada pilihan lagi selain daripada membubarkan parlimen,” tambah Ismail Sabri lagi.

Semalam, PRK Parlimen Tanjung Piai kembali menjadi milik BN apabila calonnya Datuk Seri Wee Jeck Seng memperoleh 25,466 undi menenggelamkan calon Pakatan Harapan, Karmanie Sardini yang meraih 10,380 undi.-MalaysiaGazette