SHAH ALAM – UMNO dan Pas Selangor tidak pernah berusaha melaksanakan sebarang inisiatif peduli rakyat ketika parti itu memerintah dahulu tetapi kini tanpa segan silu menyerang dan mengecam usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Malah, kedua-dua parti itu menurut Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor, Ir. Izham Hashim, sentiasa memandang rendah segala usaha kerajaan negeri untuk membantu meringankan beban rakyat.
Namun, kata beliau, jika sikap UMNO dianggap pelik sudah tentu perangai Pas lebih lagi.
“Walaupun Pas pernah bersama merangka dan melaksanakan Program Peduli Rakyat ketika dalam Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini dan menyaksikan kebaikan kepada rakyat, tetapi mereka masih mahu bercumbuan dengan UMNO.
“Apakah Pas tidak tahu perangai buruk UMNO dan Barisan Nasional (BN)? Apakah Pas tidak ingat segala kerosakan dan penyelewengan yang kerajaan UMNO, BN lakukan sepanjang 60 tahun pemerintahan negara?
“Juga adakah Pas sudah lupa segala kebaikan program mesra rakyat yang dibuat bersama ketika kerajaan PR dahulu dan kini diteruskan oleh kerajaan PH?,” soal beliau ketika menyampaikan ucaptama Konvensyen AMANAH Selangor di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri Pandan Indah itu juga menyatakan, mana logiknya perpisahan Pas dengan PR semata-mata kerana DAP, sedangkan satu ketika dahulu mereka berhujah dan berdalil mengenai keharusan bersama parti itu.
Katanya, sama juga logiknya dahulu hubungan UMNO dan Pas diharamkan dan kini didalilkan kehalalannya.
“Adakah UMNO dahulu berbeza dengan UMNO sekarang, manakala DAP sekarang pula berbeza dengan DAP dahulu? Walhal, sama sahaja kedua-duanya.
“Ini menunjukkan hujah perpisahan atau penggabungan Pas dengan mana-mana pihak bukanlah berasaskan kepada dalil agama, tetapi lebih kepada keperluan politik mereka.
“Dalil dan nas hanya dongengan Pas untuk mengabui mata ahli dan rakyat,” katanya.
Izham menjelaskan, produk Pas adalah berasaskan agama, manakala UMNO pula lebih kepada perkauman.
Ujar beliau, gabungan keduanya pasti eksploitasi maksima agama dan perkauman.
“Itu sebabnya kita lihat retotik kaum dan agama meningkat dengan ketara selepas kemenangan PH pada PRU14 yang lalu, kerana mainan isu yang berkaitan oleh UMNO dan Pas.” katanya.
Sehubungan itu, kata AMANAH dan PH tidak perlu melayani golongan itu sepanjang masa, walaupun perlu menjawab tohmahan dari kedua parti berkenaan. – MalaysiaGazette
Tak habis-habis kutuk PAS. Kalau sayang kenapa tinggal. Meroyan ke? Betul lah kata Md Sabu tinggalkan PAS masa tu dah gila.