Mohamed Haniff Khatri

KUALA LUMPUR – Keputusan ADUN Tronoh, Paul Yong untuk kembali menjalankan tugas-tugas sebagai Exco Perak di sebalik perbicaraan kes rogol pembantu rumah membabitkan dirinya adalah tidak bertanggungjawab, berkepentingan diri sendiri dan biadab.

Sehubungan dengan itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla menyarankan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu supaya menghentikan sandiwara Paul Yong yang jelas mencabuli kuasa dan hak menteri besar dengan menggantung jawatan beliau sebagai Exco kerajaan negeri serta merta.

Haniff membangkitkan persoalan bagaimana Paul Yong boleh mengumumkan keputusan untuk kembali bertugas sedangkan hanya menteri besar yang berkuasa di bawah sistem kerajaan berdemokrasi untuk menentukan kedudukan mana-mana ahli Exco sama ada boleh kembali bertugas ataupun tidak.

Katanya, ADUN Tronoh wajib sedar bahawa rakyat Malaysia yang prihatin terutamanya di Perak yang terjejas dengan isu rogol itu berhak menurut supaya kerajaan negeri dan Paul Yong supaya cakap serupa bikin atau walk the talk dalam urusan kedaulatan undang-undang.

“Apatah lagi dalam keadaan pengundi di selatan tanah air, yakni di PRK Tanjung Piai baru saja memberi petanda daripada rakyat seluruh negara kepada kerajaan Pakatan Harapan untuk melakukan tugasan dan tanggungjawab dengan betul dan berkepentingan umum,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Paul Yong Choo Kiong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan merogol pembantu rumahnya warga Indonesia.

Jumaat lalu, Paul Yong yang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya mengeluarkan satu kenyataan memutuskan untuk kembali bertugas atas alasan beliau pada mulanya bercuti secara sukarela.

Beliau mendakwa telah berbincang dengan Ahmad Faizal yang menyokongnya untuk kembali bertugas.

Pada Ogos lalu Paul Yong mengumumkan untuk bercuti daripada tugas rasmi sebagai Exco kerajaan negeri Perak kerana meletakkan kepentingan negeri lebih utama berbanding kepentingan peribadi.

BACA: Paul Yong umum bercuti

Haniff ketika mengulas mengenai keputusan itu berkata, saranan  cuti rehat cuma berkaitan jawatan Exco di mana pelantikan Paul Yong merupakan kuasa prerogatif menteri besar dan bukannya cuti rehat sebagai ADUN.

Katanya, prinsip “tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah” wajib diimbangi dengan satu lagi prinsip iaitu kedaulatan undang-undang untuk melindungi keseluruhan proses pertuduhan jenayah.

“Keutamaan adalah melindungi keseluruhan proses pertuduhan jenayah, serta perbicaraan dan keputusan mahkamah daripada dicemari persepsi masyarakat bahawa kononnya melalui jawatan yang disandang itu, tertuduh mempunyai kelebihan tidak wajar dalam proses undang-undang yang dihadapinya itu kelak.

“Baimanakah seorang individu yang menghadapi mana-mana pertuduhan jenayah, dalam melalui tekanan emosi serta keperluan menyediakan diri untuk menghadapi proses perundangan di mahkamah yang semestinya mengambil masa, akan boleh melaksanakan tugasan awam yang penting sebagai Ahli Exco Perak itu, secara tekun dan baik?” soalnya. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:

Tiada tempoh masa untuk Exco Paul Yong bercuti – MB