Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (berdiri tengah) menyaksikan Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Persefahaman (MOU) diantara Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd Datuk Seri Darwis Abdul Razak (duduk kiri) Pengerusi SME Bank Datuk Seri Nazir Ariff (duduk tengah) dan Pengarah Projek China Communications Construction Sdn Bhd Ir. Fang Zhenru (duduk kanan) pada Majlis Menandatangani Perjanjian (MoU) di antara pihak SME BANK, Malaysia Rail Link (MRL) & China Communications Construction (ECRL) di Grand Ball Room,Hilton Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 18 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – SME Bank merupakan institusi perbankan tempatan pertama yang memperuntukkan pembiayaan bernilai RM1 bilion kepada kontraktor tempatan yang dilantik dalam Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, inisiatif SME Bank bagi membiayai peningkatan penyertaan sub kontraktor tempatan daripada 30 peratus kepada 40 peratus dalam rundingan semula antara Malaysia dan China.

“Kita menawarkan sehingga RM1 bilion (pembiayaan kewangan) dan ia adalah satu permulaan. Penambahan 10 peratus sudah tentu memerlukan pembiayaan kewangan.

“SME telah menawarkan RM1 bilion bagi pembiayaan fasiliti dengan kadar keuntungan sebanyak 6.75 peratus,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara SME Bank dengan Malaysia Rail Link dan China Communication Construction Company (CCCC) di sini hari ini.

Hadir sama, Duta Besar Republik Rakyat China, Bai Tian; Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan Pengerusi SME Bank, Datuk Seri Nazir Ariff.

Turut hadir menandatangani MoU berkenaan ialah Presiden Kumpulan selalu Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera; Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak dan Pengarah Projek CCC-ECRL, Ir Fang Zhenru.

Dalam pada itu, Guan Eng juga berkata, lebih 300 kontraktor tempatan terlibat telah menghantar permohonan bagi mendapatkan mendapatkan pembiayaan kewangan itu.

“Sebaik sahaja pinjaman dilepaskan, kontraktor tempatan akan mendapat pembiayaan fasiliti ini.

“Setakat ini, terdapat 300 hingga 400 syarikat SME sudah memohon dan SME Bank merupakan kali pertama memberi pembiayaan kewangan untuk projek ini (ECRL),” katanya.

Katanya lagi, setakat ini, kemajuan projek PEMBANGUNAN ECRL sudah mencapai 13 peratus dan ia mengikut jadual di mana ia bakal disiapkan menjelang 2026. – MalaysiaGazette