Pemain Malaysia, Muhammad Safawi Rasid meraikan selepas menjaringkan gol pada perlawanan Malaysia dan Indonesia pada kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 19 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Harimau Malaya menambah derita Indonesia apabila menewaskan pasukan itu pada saingan Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 malam ini.

Pemain Paling Bernilai 2019, Safawi Rasid muncul wira apabila menjaring dua gol pada setiap separuh waktu yang menceriakan 75,434 penyokong Harimau Malaya.

Kejayaan itu membolehkan Malaysia mencatat kemenangan ketiga untuk mengutip sembilan mata dalam Kumpulan G itu.

Skuad Garuda pula terus mengalami kekalahan kelima berturut-turut tanpa sebarang mata.

Pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, skuad Tan Cheng Hoe bermula berhati-hati sebaliknya pelawat kerap melakukan serangan balas berbahaya yang mengancam kubu negara.

Malah kealpaan Akhyar Rashid hampir membawa padah menerusi serangan pantas Indonesia pantas namun penjaga Khairulazhan Mohd. Khalid berjaya menyelamat keadaan.

Bagaimanapun malang menimpa penjaga gol Selangor itu apabila dia mengalami kecederaan sehingga terpaksa diganti dengan Farizal Marlias.

Seperti bangun daripada lena, Malaysia mula menampilkan aksi agresif dan sepakan percuma Safawi Rasid menggamat penonton di stadium.

Gol pada minit ke-29 itu membuatkan Harimau Malaya kembali mengasak ke kubu lawan namun perlawanan terganggu apabila suasana menjadi tegang selepas penyokong Indonesia mula membaling suar ke kawasan penyokong Malaysia.

Kedudukan 1-0 itu kekal hingga separuh masa pertama.

Bersambung separuh masa kedua, Malaysia terus memburu gol dan Safawi sekali membolosi gawang Garuda menerusi rembatan dari sudut sukar di tepi padang pada minit ke-72.

Anak buah Yeyen Temena yang tidak berputus asa mencari gol pertama bagaimanapun pulang kecewa apabila pemain gantian, Osas Marvellous gagal menjaring sepakan penalti pada minit ke-82.

Kedudukan 2-0 kekal ke wisel penamat dalam suasana perlawanan yang terganggu apabila penyokong Indonesia membaling kerusi ke kawasan penyokong Malaysia. – MalaysiaGazette