Datuk Lokman Noor Adam
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam

KUALA LUMPUR – Tindakan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang didakwa mengetuai gerakan 22 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang mengadakan mesyuarat sulit dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali jelas bertentangan dengan keputusan yang diambil parti.

Sehubungan itu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Lokman Adam mendesak itu menjalankan siasatan segera ke atas Hishammuddin dan tindakan disiplin diambil dengan kadar segera.

“Saya berharap tiada pihak mempertahankan pengkhianatan yang dilakukan oleh Hishammuddin ini. Parti perlu mengambil tindakan tegas.

“Saya menggesa agar siasatan segera dijalankan dan tindakan disiplin diambil kepada mereka yang mempengaruhi pimpinan dan MP UMNO untuk menyokong kepimpinan Mahathir, mahupun Azmin, sekali gus menghampakan harapan rakyat untuk melihat Parlimen dibubarkan.

“Tindakan Hisham bertentangan dengan keputusan MT UMNO yang sudah pun memutuskan tiada kerjasama akan dijalankan dengan mana-mana parti dalam Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, seramai 22 Ahli Parlimen BN hadir ke kediaman rasmi Azmin dalam satu mesyuarat sulit yang dianjurkan oleh beliau.

Antara yang dilihat adalah Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Noor dan Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr. Ismail Abdul Muttalib.

Yang lain adalah Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah; Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim; Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said, Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman, Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah; Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr. Ismail Abdul Muttalib dan juga Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jamaluddin Alias.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin dan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar, antara anggota parlimen PKR yang dilihat turut berada di kediaman Azmin malam tadi.

Dalam pada itu, Lokman berkata, Hishamnuddin sekali lagi mengkhianati rakyat Malaysia khususnya pengundi di Tanjung Piai yang baru sahaja memenangkan calon BN dua hari lalu.

“Apa pula alasan yang mahu beliau berikan apabila beliau membawa 22 orang MP BN ke rumah menteri ‘semburit’ Azmin Ali di Presint 10, Putrajaya?

“Walaupun bukan semua 22 MP ini menyokong Mahathir, tidakkah beliau sedar betapa kecewanya ribuan jentera BN dan PAS yang berkerja keras di Tanjung Piai apabila beliau melakukan pengkhianatan ini,” kata lagi.

Lokman turut memberitahu beliau telah membuat aduan disiplin terhadap Hishammuddin pada 30 Oktober lalu. – MalaysiaGazette