KUALA LUMPUR – Mohd Shahar Abdullah menafikan beliau antara kira-kira 30 Ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN) yang dikatakan turut hadir dalam pertemuan sulit dengan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, malam tadi.
Ahli Parlimen Paya Besar itu berkata, beliau berada di Parlimen sehingga jam 10 malam tadi bagi membahaskan ucapan Kementerian Sumber Manusia peringkat jawatankuasa.
“Assalamualaikum, saya habis lewat semalam, hampir 10 malam di Dewan Rakyat bagi membahaskan ucapan Kementerian Sumber Manusia peringkat jawatankuasa, saya tidak pergi mana-mana perjumpaan lepas itu, terima kasih,” katanya dalam kenyataan ringkas pagi ini.
Tengah malam tadi media melaporkan, Mohamed Azmin dikatakan telah mengadakan pertemuan dengan kira-kira 30 Ahli Parlimen BN di kediaman rasminya di Putrajaya.
Menurut sumber, pertemuan itu turut dikaitkan dengan kumpulan seorang pemimpin kanan UMNO.
Bagaimanapun, sumber berkenaan tidak memperincikan pertemuan itu diadakan, namun ia didakwa ada kaitan dengan cubaan menggagalkan peralihan kuasa perdana menteri kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berita itu dikuatkan lagi dengan laporan Raja Petra Kamarudin yang mendakwa Mohamed Azmin mengadakan pertemuan itu bagi mendapatkan sokongan daripada sekurang-kurangnya 30 Ahli Parlimen BN.
“Sekiranya Azmin mendapat sokongan daripada 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional, dan bergabung dengan kumpulan pro-Mahathir di Pakatan Harapan, apa-apa percubaan untuk mengguling Mahathir dan menggantikannya dengan Anwar akan gagal,” katanya yang dipetik Malaysia Today malam tadi.
Sebelum ini, pada 24 Oktober lalu media melaporkan, Mohd Shahar antara enam Ahli Parlimen UMNO yang memberi sokongan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk meneruskan mandat sebagai Perdana Menteri sehingga pilihan raya umum seterusnya.
Lima lagi ialah Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Dr. Adham Baba; Datin Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Datuk Abdul Rahman Mohamad (Lipis), Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib (Maran) dan Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut). – MalaysiaGazette