Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya

KUALA LUMPUR – Hutang luar negara kerajaan Persekutuan setakat akhir Jun tahun ini berjumlah RM29.2 bilion, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Kementerian Kewangan berkata, jumlah hutang berkenaan hanya meliputi 1.9 peratus daripada jumlah hutang kerajaan Persekutuan merangkumi hutang dalam mata wang dolar Amerika (RM15.9 bilion), dalam mata wang yen (RM13.1 bilion), dalam Dinar Islamik (RM216 juta), dalam mata wang euro (RM1.6 juta) serta dalam mata wang dolar Kanada (RM2.5 juta).

Hutang luar negara kerajaan Persekutuan tersebut juga masih di bawah siling yang ditetapkan mengikut Akta Pinjaman Luar Negeri 1963 iaitu RM35 bilion, menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Ia bagi menjawab soalan Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) mengenai jumlah terkini bon dan pinjaman yang telah diterima oleh kerajaan dari negara-negara atau pihak luar.

Kementerian Kewangan berkata, sehingga akhir Jun 2019, kedudukan hutang kerajaan Persekutuan adalah berjumlah RM799.1 bilion atau 52.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Jumlah berkenaan kekal di bawah paras 55 peratus daripada KDNK.

Kementerian berkata, dalam pengurusan hutang yang berhemah, setiap terbitan bon atau sukuk berdenominasi mata wang asing perlu diteliti secara lebih terperinci dengan mengambil kira had statutori pinjaman luar negara, profil kematangan hutang dan pendedahan risiko mata wang asing terhadap penarafan negara.

“Ini bagi memastikan kerajaan dapat meluaskan asas pelabur, mendapat nilai untuk wang ke atas kadar kupon, seterusnya mencapai objektif utama untuk mengurangkan kos pembiayaan kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette