Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM Malaysia Holdings Bhd., Datuk Khairil Anuar Aziz.

KUALA LUMPUR- Kemerosotan harga jualan purata (ASP) gula dan pengurangan jumlah eksport telah memberikan kesan kepada MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) bagi suku ketiga berakhir 30 September 2019.

Syarikat tersebut mencatatkan kerugian selepas cukai (LAT) sebanyak RM185.10 juta berbanding keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM15.88 juta untuk tempoh yang sama pada tahun lepas.

Menurut MSM, LAT disebabkan kemerosotan nilai pada sesetengah peralatan dan jentera berjumlah RM137.35 juta serta perubahan dalam strategi Kumpulan dan pelan masa hadapan untuk beberapa aset.

“Beberapa faktor luaran mungkin berada luar daripada kawalan bagaimanapun MSM sedang mengambil beberapa langkah untuk memanfaatkan lebihan kapasiti serta menjamin harga yang terbaik bagi gula mentah untuk pasaran antarabangsa, memandangkan kontrak sebelum ini akan tamat tempoh pada penghujung Disember,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Datuk  Khairil Anuar Aziz dalam satu kenyataan di sini hari ini.

MSM merekodkan penurunan hasil sebanyak lima peratus kepada RM531.42 juta berbanding RM561.68 juta pada suku yang sama sebelum ini.

Gangguan dalam pasaran domestik dan 40 peratus pengurangan dalam jumlah eksport berikutan peningkatan persaingan dalam pasaran eksport telah memberi kesan pada penurunan ASP sebanyak tiga peratus dan empat peratus bagi pasaran Domestik dan Industri.

Selain itu, pengkomersialan MSM Johor yang bermula April tahun ini, termasuk kapasiti penggunaannya yang rendah dan susut nilai, serta kenaikan dalam tarif gas sejak Januari 2019 dan Julai 2019 telah meningkatkan kos pengeluaran sebanyak 39 peratus, katanya.

Selain itu, prestasi ringgit yang kekal lemah berbanding dolar Amerika berikutan perang dagangan AS-China yang masih berterusan turut menyumbang kepada kerugian MSM.

Bagi mengatasi isu berkaitan kenaikan kos gas, MSM akan melabur di dalam projek “Biomass Boilers”, yang akan menggunakan kisaran tandan buah kosong (SEFB) sebagai bahan bakar dandang melalui inisiatif tenaga yang boleh diperbaharui oleh Kumpulan FGV.

Ini akan menurunkan kos penapisan terutamanya dalam proses peleburan gula mentah di mana ia akan mengurangkan kebergantungan pada gas asli yang dianggarkan sebanyak 50 peratus-60 peratus setahun.

Inisiatif tenaga yang boleh diperbaharui ini adalah langkah penting buat MSM berikutan Tarif Gas Asli telah meningkat sebanyak 60 peratus sejak tahun 2015.

MSM adalah merupakan pengeluar gula bertapis tunggal di Malaysia yang akan menggunakan teknologi tersebut.-MalaysiaGazette